Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya termasuk Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Bank Pusat Brunei Darussalam, hari ini, mengadakan Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan dan bahagian serta pegawai dan kakitangan lelaki yang beragama Islam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid di Masjid Kampung Pulaie, Awang Muhd Zakaria bin Haji Salleh.
Manakala itu, pada masa yang sama, pegawai dan kakitangan wanita Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan BDCB pula telah mengadakan Majlis Ceramah Khas sempena bulan Ramadan secara maya yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, pengarah urusan BDCB, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan dan pegawai dan kakitangan wanita yang beragama Islam. Majlis-majlis seumpamanya merupakan aktiviti keagamaan tahunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bersempena bulan Ramadan. Pada tahun ini, majlis telah diselenggarakan oleh Bahagian Belanjawan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.