Oleh Syahmi Hassan, Ak Zaki Kasharan & Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Sebagai salah satu aktiviti tahunan dalam sama-sama menyemarakkan lagi keindahan bulan suci Ramadan, pelbagai pihak terus mengadakan majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Majlis berkenaan khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Kementerian Kesihatan adalah antara yang mengadakan majlis bertahlil berkenaan hari ini, dengan rombongan diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.
Turut mengadakan majlis seumpamanya hari ini adalah Progresif Sdn Bhd (Progresif) yang turut dihadiri oleh Pengerusi Progresif, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Hadir sama ialah ahli lembaga, Awang Kamal Ariffin bin Pehin Dato Haji Ahmad, pegawai-pegawai pengurusan kanan dan kakitangan syarikat tersebut.
Rombongan dari Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) pula telah diketuai oleh Yang Dipertua DPPMB, Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad.
Seramai 15 orang menghadiri majlis tersebut yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa tadbir serta ahli-ahli DPPMB.