Tuesday, April 16, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    Makan malam bersama PM M’sia

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Malam yang akan menjadi kenangan bagi diaspora Malaysia yang dijemput ke majlis makan malam sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di Jalan Kebangsaan, malam tadi.

    Beliau tiba di negara ini petang tadi, diiringi isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Dato’ Dr Wan Ismail; Menteri Luar Negeri Malaysia, TYT Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir; Premier Sarawak, TYT Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg; Ketua Menteri Sabah, TYT Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia, TYT Dato’ Sri Amran Mohamed Zin.

    Setibanya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, TYT Perdana Menteri Malaysia dan rombongan disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, TYT Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah dan pasangan serta pegawai kanan di suruhanjaya tinggi tersebut.

    Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh TYT Dato’ Raja Reza diikuti dengan ucapan Menteri Luar Negeri Malaysia, Ketua Menteri Sabah, dan Premier Sarawak.

    Acara diteruskan dengan TYT Perdana Menteri Malaysia menyampaikan ucapannya, diikuti dengan sesi soal jawab.

    TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim berada di Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari, yang menandakan lawatan rasmi kedua beliau ke luar negara sejak memegang jawatan pada November tahun lepas.

    TYT Perdana Menteri Malaysia dijadualkan akan mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam esok.

    Agensi berita Malaysia, Bernama, melaporkan majlis mengadap esok akan disusuli dengan pertemuan di mana kedua-dua pemimpin dijangka menggunakan peluang itu untuk menilai kemajuan kerjasama yang berterusan, serta mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

    TYT Perdana Menteri Malaysia semasa menghadiri majlis makan malam di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di Jalan Kebangsaan, semalam.
    TYT Perdana Menteri Malaysia semasa menghadiri majlis makan malam di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di Jalan Kebangsaan, semalam.
    TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Brunei Darussalam sempena lawatan rasmi, kelmarin.- Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...