Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, memaklumkan mengenai perubahan waktu operasi bagi Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Daerah Brunei dan Muara yang akan bermula pada 2 Ogos depan.
Kenyataan menyatakan bahawa bermula 2 Ogos nanti, pusat vaksinasi berkenaan akan beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 8 malam serta Ahad dari pukul 8 pagi hingga 2 petang dan ditutup pada Jumaat dan hari kelepasan awam.
Sehubungan itu, orang ramai menempah slot suntikan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah selepas pembukaan tambahan slot dalam BruHealth bermula 30 Julai, pukul 8 malam.
Maklumat lanjut bolehlah melayari laman web atau IG Kementerian Kesihatan atau menghubungi Talian 148, (WhatsApp, 7370095) atau Talian Darussalam 123 (WhatsApp, 8333123).