Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Malakoff tinjau loji kuasa fotovolta solar

    KUALA LUMPUR, 6 DIS – Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).

    Kedua-dua firma itu telah memeterai perjanjian utama yang menggariskan kerjasama mereka untuk mengkaji projek tenaga boleh diperbaharui (RE) yang prospektif di Semenanjung Malaysia, kata Malakoff dalam satu kenyataan.

    Majlis memeterai perjanjian itu telah diadakan semasa Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) mengenai Perubahan Iklim (COP28).

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kerjasama ini adalah bukti pengembangan mantap Malakoff dalam RE, sejajar bukan sahaja dengan saranan global tetapi juga hasrat Malaysia untuk mencapai status sifar bersih menjelang 2050.

    Beliau turut menambah Malakoff adalah pemain berpengalaman dalam industri penjanaan kuasa, dan ini melengkapkan kekuatan pelaburan Masdar yang hebat dalam sektor RE.

    “Malakoff berharap dapat bekerjasama dengan Masdar dalam projek yang dicadangkan dan membayangkan kemungkinan melanjutkan kerjasama mereka melangkaui inisiatif ini,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi berkata, sebagai perintis tenaga bersih dengan pengalaman lebih 17 tahun dalam melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui dan bersih secara berskala, Masdar berharap dapat membantu membina kapasiti RE Malaysia menerusi perjanjian ini bagi menyokong sasaran sifar bersihnya.

    Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua pihak akan sama-sama menjalankan penilaian teknikal dan komersial dan atau kajian prakebolehlaksanaan ke atas projek tertentu yang telah dikenal pasti.

    Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama mengendalikan tugas dan aktiviti menyeluruh yang terlibat dalam pembangunan, pelaksanaan dan pengurusan projek, termasuk penstrukturan dana pembiayaan. – Bernama

    Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Mohamed Jameel Al Ramahi bertukar-tukar dokumen mengenai Ketua Perjanjian (HOA) pada 1 Disember lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...