Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    $1.7 juta dikutip untuk rakyat Palestin

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Setakat pagi hari ini, Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah mengumpul sejumlah $1.7 juta hasil sumbangan orang ramai.

    Jumlah berkenaan dikongsikan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Berdasarkan penilaian, jawatankuasa yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan berkenaan telah bersetuju untuk menyokong bagi penghantaran pertama hasil kutipan tersebut bagi disalurkan kepada United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA), untuk membantu dan meringankan beban serta penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza pada masa ini.

    Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku pengerusi bersama jawatankuasa kebangsaan tersebut.

    Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah mengenai perkembangan status tabung kemanusiaan berkenaan termasuk laporan aktiviti-aktiviti yang telah diadakan bagi kutipan derma tabung tersebut, yang telah diberikan kebenaran melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan, atau Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), semenjak pelancaran tabung berkenaan pada 18 Oktober lalu.

    Hajah Nor Ashikin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang hadir semasa mesyuarat berkenaan di KKBS. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Hadir pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan wakil-wakil setiausaha tetap dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan dan KHEDN, Pengarah Urusan Imagine Sdn Bhd, wakil-wakil daripada Datastream Digital Sdn Bhd dan Progresif Sdn Bhd serta para pegawai kanan kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkenaan.

    Jawatankuasa tabung berkenaan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma di negara ini atas keprihatinan dan sumbangan yang telah dihulurkan kepada tabung tersebut.

    Tabung berkenaan akan masih dibukakan bagi sumbangan orang ramai hingga 18 Januari 2024.

    Mudah-mudahan dengan sumbangan ikhlas yang telah dihulurkan akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT jua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...