Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KHEU
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah diteruskan lagi malam kelmarin bagi minggu ke-37 yang diisikan dengan tazkirah bertajuk Stay On-Line.
Majlis kali ini disertai oleh warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan keluarga masing-masing serta 87 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara secara maya.
Hadir bagi sama-sama menyerikan Malam Munajat berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.
Majlis telah diisikan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum bacaan Surah Yasin beramai-ramai serta Doa Munajat bagi memohon keampunan dari Allah SWT agar terhindar daripada bala bencana serta penyakit berbahaya.
Seterusnya, tazkirah disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengurus-an Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Majlis disusuli dengan bacaan Asma’ul Husna dan selawat sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.