Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam munajat khas wanita

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Malam Munajat minggu ini menyaksikan penampilan istimewa jemaah wanita dengan tetamu khas iaitu Naib Canselor, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah.

    Turut diundang ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi dan isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.

    Ia juga disertai oleh para Muslimah dari beberapa buah masjid di seluruh negara termasuk jemaah Muslimah Masjid Perpindahan Lambak Kanan dan Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), tenaga akademik serta warga kerja wanita Jabatan Pengajian Islam, dan juga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama ahli keluarga dari kediaman masing-masing.

    Majlis disusuli dengan bacaan surah Yasin yang dipimpin oleh Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Dayang Siti Huzzaimah Yadey binti Haji Rosli dari Surau Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Dr Noryati binti Haji Ibrahim.

    Majlis diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Sembahyang Lebih Baik daripada Tidur’ disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, Dayang Nurhikmah binti Haji Idris, dari Masjid Perpindahan Lambak Kanan.

    Datin Hajah Nahriah semasa menyertai Malam Munajat khas wanita yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda