Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Malam Munajat tekan soal penggunaan harta

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Tazkirah bagi Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) malam tadi telah mengetengahkan mengenai penggunaan harta dalam pandangan tasawuf.

    Tazkirah disampaikan oleh Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.

    Program kali ke-120 yang berlangsung di Masjid Ash-Saliheen dan secara maya itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu khas, Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Syariah BIBD, Haji Roslan bin Haji Alli dan Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

    Majlis juga diteruskan dengan bacaan Asma Ul-Husna yang dipimpin oleh Juruaudit Syariah BIBD, Awang Mohammad Hazame bin Haji Zainal.

    Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

    Turut mengimarahkan acara ialah warga kerja BIBD, ahli-ahli jawatankuasa takmir, para jemaah serta belia dari Masjid Ash-Shaliheen dan beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara di samping warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan serta institusi-institusi pendidikan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

    Malam Munajat mengajak orang ramai bagi bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir semasa Acara Malam Munajat kali ke-120. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...