Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Malam Munajat bagi minggu ke-76 menyaksikan penampilan istimewa tetamu khas iaitu Penaung Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abdul Aziz.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Ia juga disertai oleh ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri; tenaga pengajar dan pelajar-pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, RPN Kampung Rimba; Persatuan Saudara Baharu Temburong (PESAT), dan jemaah Balai Ibadat Kampung Sibut, Temburong.
Turut memeriahkan acara ialah para jemaah dari 100 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara, serta warga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berserta ahli keluarga dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah, majlis disusuli dengan bacaan surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Pelajar Tahun 9, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Abdul Matin bin Zulnorein dari Surau Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, RPN Kampung Rimba.
Majlis diikuti dengan bacaan Doa Munajat oleh Pegawai Pelajaran Agama Kanan, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, KHEU, Haji Sufri bin Haji Tengah dari Masjid Hassanal Bolkiah, RPN Kampung Mentiri.
Sementara itu, bacaan Asma’ul Husna dipimpin oleh Ketua Bahagian Keagamaan, PESAT, Awang Muhaimin bin Zulkifli bersama ahli-ahli PESAT dari Balai Ibadat Kampung Sibut, Temburong. Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Imam Tingkat I, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Amaluddin bin Haji Jamaluddin dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.
Majlis diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Ikhlas dalam Beramal’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, Haji Muhammad Nazir bin Haji Othman secara maya dari Balai Ibadat Kampung Sibut, Temburong.