Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Malaysia akan umum strategi semikonduktor

    KUALA LUMPUR, 28 MEI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan inisiatif utama untuk pertumbuhan eksponen bagi jejak global sektor semikonduktor Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran ekspo SEMICON Asia Tenggara 2024 hari ini, beliau berkata inisiatif itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ruang semikonduktor, menekankan kepentingan semikonduktor dan peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam rantaian nilai global.

    Tengku Zafrul menyatakan keperluan untuk merebut peluang semasa dalam menjadikan Malaysia sebagai kuasa semikonduktor tulen dan hab pembuatan serantau, menekankan kepentingan bagi menarik lebih banyak pelaburan untuk mempercepatkan kemajuan Malaysia di sepanjang rantaian nilai global.

    Beliau berkata dalam tempoh 18 bulan lalu, Malaysia telah menarik perhatian beberapa syarikat elektronik terbesar dan paling canggih di dunia, termasuk gergasi industri seperti Intel, GlobalFoundries, Infineon dan Neways.

    Tengku Zafrul berkata memandangkan dunia berada di puncak satu lagi revolusi berasaskan teknologi yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), masa depan bukan sahaja terletak pada pemasangan dan pengujian cip, tetapi lebih kepada bidang inovasi dan reka bentuk yang menarik.

    Katanya Malaysia berada pada kedudukan yang sangat baik untuk memanfaatkan peluang bersejarah itu, berkat cadangan nilai yang kukuh, yang merangkumi kemudahan pembuatan bertaraf dunia, pusat penyelidikan dan pembangunan yang inovatif, tenaga kerja berkemahiran tinggi, insentif menarik dan infrastruktur moden.

    Pada masa yang sama, Malaysia juga sedang meningkatkan infrastruktur logistiknya melalui pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM1.5 bilion yang dijadualkan siap pada 2028.

    Kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) untuk menerajui penambahbaikan dalam insentif, bakat dan elemen kritikal lain bagi menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri dalam menarik pelaburan asing dan domestik. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...