PUTRAJAYA, 25 JUN – Malaysia dalam proses menyertai Alliance 8.7, sebagai antara negara pathfinder yang menyokong sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8.7, kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Alliance 8.7 merujuk kepada kerjasama global bertujuan mempercepatkan penghapusan buruh paksa, perhambaan moden menjelang 2030 dan buruh kanak-kanak menjelang 2025 dan antara negara pathfinder yang telah menyertainya adalah Argentina, Chile, Nepal dan Uganda.
Sivakumar dalam kenyataan hari ini berkata beliau telah menekankan komitmen Malaysia dalam usaha memerangi isu buruh paksa pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-111 pada 12 Jun lepas di Geneva, antaranya pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang telah mewujudkan peruntukan baharu menerusi Seksyen 90B berhubung buruh paksa.
Seksyen 90B antara lain memperuntukkan mengenai larangan kepada majikan daripada mengugut, memaksa atau memperdaya pekerja untuk membuat sesuatu perkara dan tidak membenarkan pekerja keluar dari tempat kerja yang ditakrifkan sebagai amalan buruh paksa.
“Malaysia juga telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (2021-2025) (NAPFL) berhubung buruh paksa pada November 2021 dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang aduan atau makluman yang menjurus kepada isu buruh paksa,” katanya. – Bernama