KUALA LUMPUR, 22 MEI – Malaysia diunjurkan untuk kekal sebagai pasaran perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik dengan 62.7 peratus daripada jumlah aset segmen itu di rantau ini dan dijangka mengekalkan kedudukan kukuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang, kata S&P Global Ratings.
Agensi penarafan itu berkata pembiayaan Islam di Asia Tenggara turut diunjur berkembang sebanyak lapan peratus dalam tempoh dua tahun akan datang yang menyaksikan Malaysia mengekalkan kedudukan dominannya dalam pasaran.
“Bank-bank Islam dalam pasaran utama Malaysia dan Indonesia mempunyai permodalan sihat dan asas deposit runcit yang stabil,” katanya dalam laporan mengenai sektor perbankan Islam Asia Pasifik, hari ini.
Menurut unjuran S&P Global, Asia Pasifik menyumbang 20.7 peratus bahagian aset perbankan Islam global (Iran dikecualikan berikutan ketidaktentuan melampau mata wang negara tersebut) manakala Asia Tenggara menguasai 80 peratus daripada aset perbankan Islam Asia Pasifik.
Bagi aspek enjin pertumbuhan rantau itu, S&P Global berkata ini termasuk cadangan penggabungan Malaysia Building Society Bhd dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd yang mewujudkan bank dengan perkhidmatan Islam sepenuhnya di Malaysia serta meningkatkan pendigitalan perkhidmatan perbankan di rantau ini. – Bernama