Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Malaysia hampiri sasaran final piala dunia sepak takraw 2024

    KUALA LUMPUR, 21 MEI – Malaysia semakin menghampiri sasaran final masing-masing dalam acara double dan regu divisyen premier selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

    Pasukan Malaysia dibarisi Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Baihakki A’ripin berjaya melepasi halangan sukar di suku akhir acara double, berdepan Kim Young Cheol, Shin Hee Seop dan Park Cheol Hee dari Korea Selatan.

    Anak buah Ahmad Jais Baharun dipaksa bermandi peluh sebelum menoktahkan kemenangan 2-1 (15-11, 15-17, 15-8) dan dijadual membuat perhitungan dengan Myanmar pada pentas separuh akhir malam ini selepas Myanmar menumpaskan India 2-0 (15-8, 15-13) dalam satu lagi aksi suku akhir.

    Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menemukan pasukan gergasi yang juga juara bertahan Thailand dan Indonesia selepas masing-masing mencatat kemenangan 2-0 (15-10, 15-11) mengatasi Jepun dan Vietnam 2-0 (15-9, 17-15) di pentas suku akhir.

    Sementara itu, Malaysia juga layak ke separuh akhir acara regu selepas trio Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias mudah mengatasi Singapura dibarisi Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal, Youri Adli Fathullah Ahmadi dan Akmal Musyarraf Rostam 2-0 (15-8, 15-9).

    Regu Malaysia yang merangkul pingat perak pada Sukan Asia Hangzhou 2022 itu akan bertemu pemenang antara Myanmar dan Indonesia pada pentas separuh akhir.

    Satu lagi pertembungan separuh akhir regu menyaksikan Thailand yang menjinakkan India 2-0 (15-7, 15-10) akan membuat perhitungan dengan pemenang antara Filipina dan Brunei. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...