KUALA LUMPUR, 4 APRIL – Kerajaan akan mempergiatkan langkah untuk menarik pelaburan berkualiti serta terus menambah baik ekosistem perniagaan di wilayah atau negeri yang masih kurang membangun dalam usaha menggalakkan pertumbuhan yang saksama antara wilayah dan negeri.
Kementerian Ekonomi berkata program pembangunan strategik pada peringkat wilayah dan negeri akan dilaksanakan melalui inisiatif dipacu oleh kerajaan negeri dan projek yang diterajui oleh sektor swasta.
“Usaha ini dijangka dapat mengurangkan jurang sosioekonomi rentas wilayah dan negeri, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat,” katanya dalam jawapan bertulis bagi Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini. – Bernama