Friday, October 18, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia perlu berani menentang Denmark

    CHENGDU, 29 APRIL – Hanya kemenangan menentang Denmark, kuasa besar badminton dunia dalam aksi penting Kumpulan D Piala Thomas 2024 esok akan membawa Malaysia mendahului carta kedudukan dan membuka laluan lebih mudah dalam undian suku akhir.

    Kapten pasukan dan pemain beregu lelaki Malaysia, Soh Wooi Yik bersepakat dengan rakan sepasukanya untuk kekal yakin apabila menentang lawan seterusnya pada kejohanan berpasukan badminton paling berprestij dunia itu di Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu.

    “Pastinya perlawanan yang sukar dan kami harus bersedia sepenuhnya untuk esok. Saya mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan mata dan akan mencuba yang terbaik buat Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di sini.

    Menjangkakan pertembungan dengan gandingan nombor empat dunia Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, Wooi Yik bertekad bahawa beliau dan pasangannya Aaron Chia, akan berusaha 100 peratus untuk mengatasi lawan mereka.

    Aaron-Wooi Yik mempunyai rekod yang cukup baik menentang Astrup-Rasmussen dengan memperoleh enam kemenangan dalam sembilan pertemuan setakat ini.

    Walaupun Malaysia kelihatan lebih stabil dalam acara beregu, pemain profesional negara Lee Zii Jia akan menjadi penentu untuk meraih mata bagi kem perseorangan lelaki yang agak goyah.

    Bagaimanapun, cabaran getir menanti beliau kerana berkemungkinan berhadapan dengan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen pada perlawanan pembukaan.

    Axelsen telah memenangi lima perlawanan, manakala Zii Jia muncul juara sebanyak tiga kali berdasarkan lapan pertemuan mereka sebelum ini. Zii Jia yang sedang bersiap sedia menentang Axelsen, juga meletakkan kepercayaan kepada rakan sepasukannya untuk bersinar melawan pasukan Denmark. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda