Monday, March 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia perlu menang berdepan Kemboja

    MANILA, 3 DIS – Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berharap kemenangan besar Malaysia 4-0 ke atas Timor Leste kelmarin, akan menambah keyakinan anak buahnya dalam misi hidup atau mati berhadapan Kemboja, Rabu ini.

    Selepas memulakan kempen Kumpulan A dengan seri 1-1 dalam perlawanan menentang Myanmar, Isnin lepas dan tewas 0-1 kepada tuan rumah Filipina pada Jumaat, Malaysia bangkit untuk mencatatkan kemenangan sulungnya dalam Sukan SEA ke-30, di Stadium Memorial Rizal, di sini.

    Dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir, Myanmar sudah pun mengesahkan tempat ke separuh akhir selaku juara kumpulan dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

    Kini, pasukan di tempat kedua Kemboja, ketiga Malaysia dan keempat Filipina, kesemua dengan empat mata tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan gol, perlu bertarung untuk satu slot yang tinggal untuk ke separuh akhir pada Rabu ini.

    Kemboja mempunyai kelebihan dengan perbezaan jaringan empat gol selepas membelasah Timor Leste 5-0, sementara Malaysia mempunyai tiga perbezaan jaringan gol manakala Filipina seimbang selepas menjaringkan dan membolosi tiga gol.

    Filipina mempunyai laluan lebih mudah berhadapan Timor Leste sementara Malaysia dan Kemboja perlu bertarung untuk tiga mata dan memerlukan perbezaan jaringan gol yang besar jika tuan rumah menang besar dalam perlawanan itu.

    Bagaimanapun, Kim Swee nampaknya menumpukan perhatian kepada tiga mata penuh ketika menentang Kemboja dalam perlawanan pukul 4 petang sebelum tuan rumah turun ke padang empat jam kemudian. – Bernama

    Pemain Malaysia, Hadi Fayyadh ketika mengasak pemain Timor Leste Frangcyatma pada acara bola sepak lelaki perlawanan peringkat kumpulan di Sukan SEA ke-30, di stadium Rizal Memorial. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda