Oleh Raz AS
Yang mana bisai diguna, spinning reel atau baitcaster? Demikian adalah persoalan yang pernah ditanyakan oleh beberapa orang kenalan kepada penulis, dan mungkin ramai lagi di luar sana yang tertanya-tanya mengenainya.
Selalunya jawapan penulis adalah pendek, “guna saja yang mana rasanya selesa..”, tanpa menerangkan lebih terperinci mengenai ciri-ciri yang ada pada kedua-dua jenis reel yang sama sekali berbeza itu.
Ada pemancing lebih suka menggunakan spinning reel, ada pula yang lebih suka menggunakan baitcaster, namun sesetengah lagi pemancing seperti penulis sendiri menggunakan kedua-duanya mengikut kesesuaian teknik, situasi dan keadaan persekitaran padang pancing.
Spinning reel mudah untuk digunakan,oleh yang demikian ia juga sangat sesuai digunakan oleh orang yang baru berkenalan dengan aktiviti memancing. Cukup sekadar tahan tali dengan jari, bukakan bail, lontar dan tutup kembali bail.
Reel yang kedudukannya dalam keadaan ‘gantung-gantung’ pada bahagian reel seat joran ini mempunyai kegunaan yang versatil untuk pelbagai jenis teknik pancingan. Selain mudah digunakan, kelebihan reel ini adalah pemancing boleh membuat lontaran untuk apa saja jenis umpan atau lure seperti umpan hidup tanpa batu ladung atau lure yang ringan seperti soft plastic dan set ultralight.
Kejauhan lontaran spinning reel adalah mengikut kekuatan tangan pemancing ketika membuat lontaran dan tali keluar tanpa halangan drag atau braking system seperti yang terdapat pada baitcaster, oleh yang demikian pemancing tidak perlu risau berhadapan dengan tali kusut atau backlash ketika membuat lontaran.
Berlainan dengan spinning reel, baitcaster kedudukannya seakan bertenggek atas joran. Untuk menggunakan reel jenis ini, pemancing memerlukan kemahiran kawalan ibu jari dan memahami mekanisme braking system yang terdapat pada baitcaster untuk membuat lontaran dan mengelakkan backlash.
Meskipun sukar untuk digunakan pada awalnya, sehingga ada yang berputus asa dan berhenti daripada menggunakan baitcaster sama sekali kerana jenuh atau sanak kerana sering mendapat backlash semasa membuat lontaran, akan tetapi dengan banyak berlatih reel ini boleh menjadi senjata yang ampuh kepada si pemancing.
Baitcaster membolehkan pemancing melakukan lontaran jauh tanpa menggunakan banyak tenaga kerana tali yang keluar secara terus daripada spool, bukan secara berpusing (circular motion) seperti spinning reel.
Saiz baitcaster yang kecil dan ringan namun mempunyai kekuatan tinggi juga memberikan keselesaan kepada pemancing untuk melontarkan lure besar berulang kali tanpa merasa cepat letih, lebih-lebih lagi pemancing hanya membuat pergerakan minimum, cukup sekadar tekan punat, lontar dan putar handle, tidak perlu buka tutup bail.
Oleh itu pemancing boleh membuat lebih banyak lontaran dengan cepat untuk cover lebih banyak tempat dalam pemburuan ikan sasaran. Pemancing juga dapat bertindak lebih cepat untuk membuat hook up tatkala umpan yang baru saja mencecah air tiba-tiba sahaja terus disambar ikan.
Walaupun secara konvensionalnya baitcaster lebih sesuai digunakan bersama lure besar, namun baru-baru ini baitcaster yang direka khas untuk melontar lure ringan yang dikenali sebagai BFS atau Bait Finesse System sudah muncul di pasaran dan mulai popular di kalangan pemancing trout di Jepun dan Barat.
Nisbah putaran gear atau gear ratio yang ada pada baitcaster selalunya lebih tinggi daripada spinning reel membuatkannya pilihan reel yang sesuai untuk menggunakan crankbait dan stickbait seperti popper, pencil dan jerkbait. Meskipun begitu, kini spinning reel juga telah menawarkan banyak pilihan kelajuan yang setanding dengan baitcaster.
Kelebihan sebenar di mana reel jenis baitcaster jauh lebih menyerlah berbanding spinning reel adalah daripada aspek ketepatan lontaran. Baitcaster membolehkan pemancing membuat lontaran yang lebih tepat dalam keadaan padang pancing yang memerlukan ketepatan lontaran.
Oleh yang demikian secara kesimpulannya, spinning reel boleh digunakan untuk pelbagai kaedah, tempat dan situasi serta mudah digunakan, manakala baitcaster pula boleh memberikan beberapa kelebihan seperti ketepatan lontaran dan jimat tenaga tetapi memerlukan masa dan latihan untuk dikuasai, semuanya terpulang kepada pemancing hendak pakai yang mana, tepuk dada tanya selera, pakai saja yang mana rasanya selesa dipakai.