Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manchester United benam Arsenal

    NEW YORK, 23 JULAI – Bruno Fernandes dan Jadon Sancho masing-masing menjaringkan gol ketika Manchester United menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi persahabatan yang disaksikan oleh 82,262 penyokong di Stadium MetLife, kelmarin.

    Peminat New York dan New Jersey dari dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyaksikan aksi separuh masa pertama yang menarik membabitkan jaringan kedua-dua gol itu tetapi babak kedua agak hambar selepas berlaku banyak pertukaran pemain.

    Penjaga gol baharu United dari Cameroon, Andre Onana, yang ditandatangani dari Inter Milan menerusi kontrak bernilai 44 juta pound, tidak beraksi walaupun turut menyertai jelajah pasukan itu di Amerika Syarikat.

    Pemain pelapis kedua, Tom Heaton diberi tanggungjawab menjaga gawang dengan Fernandes memakai lilitan kapten selepas menggantikan pemain pertahanan, Harry Maguire.

    Pemain sayap Brazil, Antony mencipta peluang pertama United apabila dia mendapat ruang di tengah kotak penalti tetapi rembatannya tersasar.

    United mendahului selepas setengah jam permainan apabila Fernandes melepaskan rembatan kaki kiri yang rendah untuk memperdaya penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale.

    Tujuh minit kemudian, Sancho menggandakan jaringan selepas pertahanan Arsenal, Gabriel melakukan kesilapan di garisan tengah dan penyerang England itu meluru pantas sebelum meledak masuk dengan penuh keyakinan.

    Dengan United masih mencari penyerang tengah pada jendela perpindahan pemain, Sancho memainkan peranan penting berbanding posisi biasa di bahagian sayap.

    Dengan kedua-dua Erik ten Hag dan bos Arsenal, Mikel Arteta menggunakan sepenuhnya skuad mereka selepas rehat, jelasnya rentak perlawanan berkurangan namun pendahuluan United tidak terancam. Pemain berusia 18 tahun, Kobbie Mainoo mempamerkan aksi memberangsangkan di bahagian tengah United dan Fernandes memuji produk akademi kelab itu. – AFP

    Aksi Bruno Fernandes (kanan) bersaing dengan Declan Rice dalam perlawanan di Stadium MetLife di East Rutherford, New Jersey pada 22 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda