Oleh Sim Y. H. –
Pada 2023, Daftar Kanser Negara Brunei Darussalam (BDCR), telah merekodkan sebanyak 794 kes kanser baharu dikesan dalam kalangan warganegara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalkam di mana, jumlah itu telah meningkat daripada 743 kes pada tahun sebelumnya.
Pada tahun yang sama, sejumlah 351 kes kematian akibat penyakit kanser juga telah didaftarkan.
Dalam kalangan lelaki, jenis kanser yang lazim dihidap adalah kanser kolorektal iaitu sebanyak 81 kes, diikuti dengan kanser prostat iaitu sebanyak 36 kes dan kanser paru-paru iaitu sebanyak 28 kes.
Manakala dalam kalangan wanita pula, kanser payudara iaitu sebanyak 119 kes merupakan kanser yang lazim dihidapi diikuti dengan kanser kolorektal iaitu sebanyak 71 kes dan kanser rahim iaitu sebanyak 63 kes.
Dalam usaha menangani ancaman kanser di negara ini, pelbagai tindakan yang merangkumi aspek pencegahan, pengesanan awal, rawatan dan penjagaan paliatif telah dan sedang dilaksanakan.
Daripada segi pencegahan dan pengesanan awal, Kementerian Kesihatan melalui Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan yang telah diperkenalkan sejak 2019, ada menyediakan perkhidmatan pemeriksaan saringan untuk beberapa jenis kanser termasuk kanser kolorektal, kanser payudara dan kanser pangkal rahim (serviks).
Saringan itu ditawarkan secara percuma bagi warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam dan boleh didapati di keempat-empat daerah di negara ini.
Untuk memudahkan lebih ramai lagi individu yang layak mendaftar bagi saringan kanser-kanser berkenaan, Kementerian Kesihatan juga telah memperluaskan ciri Penilaian Risiko pada aplikasi BruHealth.
Selain daripada saringan kanser kolorektal, pendaftaran untuk saringan kanser payudara secara langsung juga telah diperkenalkan melalui aplikasi BruHealth bermula Ogos 2024, diikuti dengan saringan kanser serviks pada Januari 2025.
Melalui ciri Penilaian Risiko ini, para pengguna hanya perlu melengkapkan soal selidik untuk menentukan sama ada mereka layak atau disarankan menjalani ujian saringan.
Jika disarankan, pengguna boleh terus menempah perjanjian melalui aplikasi BruHealth dan seterusnya akan menerima notifikasi yang memberi peringatan untuk menjalani saringan apabila tiba masanya.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Kanser Sedunia 2025 yang menbawa tema, Bersatu berasaskan Keunikan.
HARI KANSER SEDUNIA
Setiap tahun pada 4 Februari, seluruh dunia menyambut Hari Kanser Sedunia di mana pada 2025, ia membawa tema, Bersatu Berasaskan Keunikan.
Tema berkenaan akan dikekalkan sehingga 2027 bagi mengingatkan kita bahawa setiap pesakit kanser mempunyai keperluan dan kisah unik mereka tersendiri iaitu kisah kesedihan, kesakitan, penyembuhan, ketabahan dan banyak lagi.
Namun, di sebalik perbezaan itu, setiap individu tetap bersatu dalam mencapai matlamat yang sama, iaitu untuk mengurangkan beban kanser, memastikan rawatan kanser yang berkesan dan menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti walaupun sebagai pesakit kanser.
Tema itu juga menekankan akan pentingnya penyediaan penjagaan kanser yang berasaskan people-centered, melalui pendekatan yang penuh empati, adil dan memenuhi keperluan peribadi setiap pesakit kanser.
UJIAN HUMANPAPILLOMA VIRUS (HPV)
Dalam perutusannya lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan pada Ogos 2024, Kementerian Kesihatan juga telah mula memperkenalkan ujian Humanpapilloma Virus (HPV) sebagai kaedah utama untuk saringan bagi kanser serviks, menggantikan ujian Pap yang digunakan sebelum ini.
Ujian HPV itu merupakan kaedah berteknologi tinggi yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mampu mengesan jangkitan HPV berisiko tinggi sebelum sebarang perubahan berlaku kepada sel-sel serviks.
Jangkitan HPV merupakan faktor risiko utama yang mengakibatkan kanser serviks. Salah satu kelebihan ujian ini ialah kemudahan pengambilan sampel sendiri, yang membolehkan wanita mengambil sampel menggunakan swab secara sendiri.
Kaedah itu menawarkan fleksibiliti dan privasi yang lebih tinggi kepada wanita dan ia diharapkan akan dapat meningkatkan lagi kadar penyertaan saringan kanser serviks dalam kalangan wanita.
Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang kepada strategi global WHO untuk menghapuskan kanser serviks menjelang 2030 serta pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berkaitan.
Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa selain daripada penambahbaikan pada kaedah ujian saringan dan ciri Penilaian Risiko pada aplikasi BruHealth, Kementerian Kesihatan juga telah menaiktarafkan penyediaan perkhidmatan pengimejan payudara dengan pembukaan Pusat Pengimejan Payudara di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada Ogos 2024 untuk meningkatkan keyakinan, keselesaan dan privasi para wanita.
Manakala itu, pada 15 Januari lalu, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan 2025 yang bertujuan untuk memberikan panduan kepada profesional penjagaan kesihatan dalam melaksanakan amalan klinikal dan rawatan yang selaras dengan piawaian yang telah ditetapkan.
“Dalam kesempatan ini, saya ingin menggalakkan dan mengalu-alukan kepada semua warga penduduk yang layak, untuk memanfaatkan perkhidmatan saringan yang disediakan secara percuma ini.”
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan lagi bahawa pengesanan awal bererti peluang untuk mendapat rawatan dan intervensi awal yang boleh menyembuhkan penyakit berkenaan di peringkat awal dan mengawal penyakit tersebut daripada menular.
“Pada masa ini, rawatan berteknologi tinggi serta pengurusan dan penjagaan kanser komprehensif boleh diperoleh di negara ini melalui perkhidmatan yang tersedia di Pusat Kanser Brunei.”
“Kepada mereka yang pernah dan sedang mengidap kanser, tetap bersabar dan cekal dengan pengurusan serta pemantauan penyakit tersebut. Bagi mereka yang terkesan oleh penyakit kanser secara langsung atau sebaliknya, berikanlah sokongan dalam apa jua bentuk kepada mereka yang memerlukannya.”
TANGGUNGJAWAB SETIAP INDIVIDU TERHADAP KESIHATAN MEREKA SENDIRI
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menekankan bahawa setiap individu juga perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri dengan mengamalkan beberapa langkah yang boleh mencegah atau mengurangkan risiko kanser.
Langkah-langkah itu, jelas beliau, termasuk berhenti merokok dan mengelakkan pendedahan kepada asap rokok, mengekalkan berat badan yang sihat, mengamalkan pemakanan sihat dengan memastikan pengambilan makanan berkhasiat yang mencukupi, seperti dua ke tiga hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari serta mengurangkan pengambilan makanan berlemak yang berlebihan.
Langkah-langkah lain melakukan kegiatan fizikal secara tetap selama 30 minit sehari sekurang-kurangnya lima kali dalam seminggu dan mendapatkan vaksinasi yang disarankan, termasuk vaksin HPV untuk mengurangkan risiko kanser serviks.
PENGLIBATAN SEMUA DALAM MENGURANGKAN BEBAN KANSER
“Bersempena dengan Hari Kanser Sedunia tahun ini, marilah kita semua bertekad, bekerjasama dan komited untuk mengambil tindakan, di peringkat individu, komuniti atau kerajaan, untuk mengurangkan beban kanser di peringkat negara dan global.”
Yang Berhormat Dato menekankan bahawa penglibatan generasi muda dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser adalah penting.
“Pendidikan dan pendedahan awal boleh membina generasi yang lebih sedar dan komited terhadap langkah-langkah pencegahan dan pengesanan awal kanser.
Tidak kurang pentingnya juga peranan tempat kerja dalam menggalakkan para pekerja untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani pemeriksaan saringan kanser.”
“Dengan memberikan sokongan seperti waktu bekerja yang fleksibel untuk membolehkan pekerja menghadiri perjanjian saringan atau menganjurkan aktiviti promosi kesihatan di tempat kerja bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pekerja tentang saringan dan manfaatnya, lebih ramai individu dapat digalakkan untuk menjalani ujian saringan.”
Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan dengan usaha sama bersepadu, komplikasi dan kematian akibat kanser dapat dicegah, pesakit kanser dapat menerima rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa dan penjagaan yang saksama dapat diberikan kepada semua pesakit kanser.