Gambar oleh Infofoto
KAHERAH, 6 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingatkan para pelajar untuk menggunakan nikmat kesihatan dan keceriaan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk dijadikan ‘modal pelaburan’ bagi mengaut keuntungan duniawi dan ukhrawi.
Jelas Baginda, keuntungan duniawi adalah berupa ilmu dan pengalaman yang diperoleh, dan boleh pula digunakan untuk membangun ummah dan negara.
Perkara tersebut ditekankan oleh Baginda dalam titah sempena keberangkatan ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk serta Pelajar Negara Brunei Darussalam yang berada di Republik Arab Mesir. Majlis tersebut diadakan di Intercontinental Cairo Citystars Hotel petang tadi.
Baginda menambah bahawa kehebatan ilmu itu adalah mudah untuk dijelaskan dengan melihat kepada bangsa-bangsa yang maju di dunia. Mengenai keuntungan ukhrawi pula, mempelajari ilmu itu juga adalah dituntut kepada semua umat Islam, seperti ilmu agama yang menjadi fardu ‘ain, dan ilmu-ilmu selainnya yang menjadi fardu kifayah.
Melihat kepentingan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menjelaskan bahawa telah menjadi dasar kerajaan Baginda untuk memberikan pendidikan percuma di samping pengurniaan biasiswa-biasiswa bagi yang berkelayakan.










Baginda menyifatkan para pelajar sebagai ‘calak zaman’ untuk melakar sejarah bangsa dan negara. Oleh itu, Baginda menaruh harapan kepada lepasan-lepasan institusi pengajian tinggi Islam, khasnya Universiti Al-Azhar, untuk mengikuti jejak langkah generasi awal yang telah memanfaatkan ilmu mereka kepada negara.
Baginda mengingatkan kepada pelajar supaya terus belajar dan tidak menghampakan harapan negara dan ibu bapa. Baginda juga menyeru kepada pelajar untuk mencari kemahiran-kemahiran lain yang juga adalah sangat penting sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di hotel berkenaan dijunjung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Mustapa bin Pengiran Haji Aliuddin; dan Presiden Badan Kebajikan Penuntut Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir (BKPBDK), Haji Awang Muhammad Hasif bin Haji Awang,
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani lembaran kenangan sempena majlis tersebut. Baginda kemudiannya dijunjung bagi sesi bergambar bersama para pegawai-pegawai Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dan ahli Jawatankuasa BKPBDK. Baginda kemudiannya dijunjung bagi Majlis Santap Petang bersama wakil-wakil pelajar.
Selepas majlis santap, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan beredar ke Al-Saraya Hall bagi Majlis Bersama Rakyat.
Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Awang Mohammad Rohaidi bin Johadi, pelajar di Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar dan diteruskan bacaannya menggunakan bacaan Qiraat Riwayat Warsh oleh Awang Afiq Haririe bin Haji Awang Mat Daud, pelajar di Ma’had Qiraat Syubra.
Intisari ayat kemudiannya dibacakan oleh Haji Mohammad Waez bin Haji Ramlee, pelajar di Fakulti Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar.
Doa Selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis tersebut diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Haji Awang Muhammad Hasif bagi pihak seluruh rakyat dan penduduk serta pelajar Negara Brunei Darusalam yang berada di Republik Arab Mesir, yang antara lainnya menyembahkan sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah-bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima pesambah daripada presiden BKPBDK.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan bercemar duli dan beramah mesra bersama lebih daripada 250 orang rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada pelajar-pelajar, pegawai-pegawai kerajaan, serta mereka yang dalam percutian.
Majlis juga turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada para pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat meninggalkan Kaherah, Republik Arab Mesir selepas mengadakan keberangkatan negara.
Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Petroleum dan Sumber-sumber Galian (Mineral), selaku Head of Mission of Honor dan Menteri Pengiring, TYT Tarek El Molla dan TYT Pengiran Haji Mustapa.
Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah para pegawai di Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Mesir.