Monday, October 2, 2023
22.6 C
Brunei

    -

    Manfaatkan perjanjian RCEP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-54 (AEM 54) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Siem Reap, Kemboja pada 13 hingga 15 September.

    Mesyuarat-mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan, Kemboja, Tuan Yang Terutama Pan Sorasak di mana ia termasuk Mesyuarat AEM-Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-36, Mesyuarat AEM-Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-25, Konsultasi AEM-Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Mesyuarat AEM ke-54, Mesyuarat AEM-Ketua Pengarah Pertu-buhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan Mesyuarat Menteri-menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kali pertama serta beberapa mesyuarat konsultasi AEM bersama rakan-rakan dialog seperti Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.

    Pada 14 September lalu, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN telah membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Sen.

    Semasa acara berkenaan, TYT Hun Sen telah mengongsi kebimbangannya terhadap ketidaktentuan dan cabaran ekonomi serantau dan global yang telah menjejaskan aktiviti perdagangan di rantau itu.

    Dalam hal itu, beliau telah menyarankan supaya Menteri-menteri Ekonomi ASEAN meneroka lebih banyak peluang perdagangan antara lainnya dengan memanfaatkan perjanjian RCEP.

    Dr Hajah May Fa’ezah mewakili Negara Brunei Darussalam menghadiri Mesyuarat AEM 54 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Kemboja, baru-baru ini. – Gambar serahan MOFE

    Semasa Mesyuarat AFTA ke-36, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN membincangkan mengenai kepentingan rundingan penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang telah dilancarkan pada Mac 2022.

    Penaiktarafan itu bertujuan untuk memupuk kedayatahanan perdagangan dan rantaian bekalan intra-ASEAN melalui penggunaan ATIGA oleh peniaga-peniaga bagi menggalakkan integrasi ekonomi serantau.

    Manakala itu, semasa Mesyuarat AIA ke-25, sidang menteri telah melancarkan Laporan Pelaburan ASEAN (AIP) 2022, yang mengetengahkan perkembangan terkini dalam persekitaran pelaburan di ASEAN termasuk usaha dan inisiatif ASEAN terutamanya dalam memudahcarakan pelaburan, termasuk perlaksanaan ASEAN Investment Facilitation Framework (AIFF) yang dikuatkuasakan pada 2021.

    Di bawah tema ASEAN A.C.T: Address Challenges Together, Mesyuarat AEM ke-54 menekankan semula komitmen ASEAN terhadap integrasi ekonomi serantau di tengah-tengah cabaran yang disebabkan pandemik yang berterusan dan peningkatan ketegangan geopolitik.

    Menteri-menteri Ekonomi ASEAN mengambil maklum bahawa ekonomi ASEAN telah meningkat sebanyak 3.4 peratus pada 2021 dengan pertumbuhan dalam penggunaan, pelaburan dan perdagangan.

    Para menteri yakin bahawa pertumbuhan ekonomi ASEAN akan terus berkembang pada 2022 dan 2023, dengan jangkaan pertumbuhan masing-masing pada kadar 5.0 peratus dan 5.2 peratus.

    Menteri-menteri Ekonomi ASEAN turut melancarkan perundingan Perjanjian Rangka Kerja mengenai Persaingan (AFAC) yang bertujuan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang adil dan berdaya saing di ASEAN.

    AFAC akan mencerminkan komitmen ASEAN untuk memajukan lagi integrasi ekonomi serantau, mengekalkan dan meningkatkan hasil di bawah Pelan Tindakan Persaingan ASEAN (ACAP) 2025 untuk membina ASEAN yang kompetitif, inovatif dan dinamik.

    Sementara itu, Mesyuarat WIPO merupakan perjumpaan kali pertama antara Menteri-menteri Ekonomi ASEAN dan Ketua Pengarah WIPO, Daren Tang yang antara lain telah mengetengahkan peranan WIPO dalam menyediakan bantuan teknikal untuk menyokong beberapa key deliverables ASEAN dan berharap WIPO akan dapat memberikan sokongan dalam bidang lain seperti perusahaan kecil dan sederhana dan ekonomi digital.

    Semasa Konsultasi ASEAN-BAC, menyedari akan kepentingan penglibatan sektor swasta di rantau ini, sidang menteri semasa perjumpaan dengan pihak ASEAN-BAC, dimaklumkan mengenai perkembangan pelaksanaan projek legasi mereka, termasuk ASEAN Digital Credentials Wallet (AKREDI) dan pihak ASEAN-BAC mengesahkan komitmen mereka ke arah mempercepatkan pemulihan ekonomi di rantau ini pasca pandemik, terutamanya dalam kesalinghubungan perdagangan digital, pembangunan mampan, kedayadayatahanan rantaian bekalan dan pembangunan modal insan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Ikan paus langgar bot, 1 maut, 1 cedera  

    SYDNEY, 1 OKT - Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera selepas seekor ikan paus melanggar sebuah bot di luar pantai timur Australia, kelmarin,...

    Singa baham tuan