Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marc Gasol umum persaraan

    BARCELONA, 1 FEB – Bintang bola keranjang Sepanyol, Marc Gasol bersara daripada sukan itu kelmarin selepas kerjaya yang cemerlang meliputi 20 musim profesional, termasuk 13 musim dalam NBA.

    Pemain treble All-Star NBA, yang menjulang kejuaraan bersama Toronto Raptors pada 2019 itu merupakan adik kepada Pau Gasol, pemenang NBA dua kali, yang bersara pada Oktober 2021.

    “Inilah masanya untuk menarik diri dan berkongsi segala pengalaman dan pengajaran yang telah diajarkan dan diberikan oleh bola keranjang kepada saya,” kata Gasol pada sidang akhbar.

    “Sudah tiba masanya untuk saya melakukannya, jika saya terus bermain, ia boleh memberikan kesan serius (secara fizikal).”

    Pemain tengah berusia 39 tahun itu memulakan kerjayanya dengan pasukan tempat kelahirannya, Barcelona pada 2003, memenangi kejuaraan liga pada musim sulungnya.

    Aksi Steven Adams (kanan) dari Oklahoma City Thunder memberikan tekanan ketika Gasol dari Memphis Grizzlie mencari rentak permainan. – ANN/The Straits Times

    Gasol berpindah ke CB Girona dan mengukuhkan kerjayanya dengan memenangi Piala Dunia bersama Sepanyol pada 2006 dan sekali lagi pada 2019, serta memenangi Kejohanan Eropah pada 2009 dan 2011.

    Beliau menyertai pasukan Grizzlies pada tahun 2008 sebagai sebahagian daripada pertukaran yang menghantar abangnya, Pau Gasol ke Los Angeles Lakers.

    Gasol menghabiskan 13 tahun di Amerika Syarikat, juga bermain untuk Lakers pada musim 2020/2021.

    Gasol kembali bermain untuk kelab yang diasaskannya pada 2014, Basquet Girona di Catalonia, antara 2021 dan 2023.

    Selepas mengalami kecederaan musim lalu, beliau memutuskan untuk tidak menyertai pasukan untuk kempen semasa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda