Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marcell mahu menyanyi sampai umur 90 tahun

    Bagi memastikan dirinya masih mampu menyanyi dengan baik di usia tua, penyanyi Marcell mengambil inisiatif dengan mengikuti kelas vokal klasikal.

    Marcell atau Marcell Siahaan, 46, berkata untuk mengekalkan kemampuan vokal bagi jangka masa panjang, dia perlu mempelajari teknik nyanyian yang betul.

    Kata Marcell lagi, dia menjadikan Tom Jones sebagai contoh kerana penyanyi veteran itu masih mempunyai kemantapan vokal yang baik meskipun sudah berusia.

    “Saya baru sahaja selesai menghadiri kelas untuk menjadi penyanyi tenor atau vokal klasikal hanya untuk mendapatkan teknik supaya saya boleh menyanyi sehingga usia 90 tahun.

    “Saya lihat ramai penyanyi legenda seperti Tom Jones walaupun usianya sudah tua tetapi masih boleh menyanyi dengan nada yang sama. Tidak berubah.

    Marcell tetap mahu meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian. – mStar

    “Bagaimanakah caranya? Semuanya kita perlu mencari teknik yang betul dan menjaga kesihatan fizikal dengan baik,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Marcell turut memberitahu dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk berhenti menyanyi selagi masih mampu untuk menghiburkan peminat.

    “Kerjaya nyanyian tidak sama seperti birokrat atau ahli politik yang ada waktu berhentinya. Sebagai penyanyi, saya selagi masih ada hayat, sampai saya ‘dipanggil’ (meninggal dunia), di situlah waktu saya akan berhenti menyanyi.

    “Nanti kalau saya kata target nak berhenti menyanyi pada usia 50 tahun, ditakdirkan pula selepas itu diduga dengan penyakit. Jadi saya lebih selesa untuk tidak meletak sebarang sasaran berhenti menyanyi,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda