KUALA LUMPUR, 29 DIS – Kapten, Muhammad Marhan Mohd Jalil kembali mengetuai pasukan hoki Malaysia bagi menghadapi cabaran Piala Dunia 2023, bermula 13 hingga 29 Januari di Bhubaneswar dan Rourkela, India.
Pemain pertahanan berusia 32 tahun yang patah jari kaki kanan ketika perlawanan persahabatan menentang Perancis pada Jelajah Belgium, Oktober lepas, antara 18 orang pemain disenaraikan dalam skuad Speedy Tigers bagi saingan kali ini.
Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi turut mengesahkan bahawa Muhammad Shahril Saabah juga pulih dari kecederaan otot betis untuk memperkuatkan jentera serangan Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia, dalam memburu sasaran mara ke pusingan kalah mati di Piala Dunia.
Kehadiran Muhammad Marhan, yang mempunyai 278 caps (penampilan) dan Muhammad Shahril (148 caps) setelah terlepas Piala Sultan Azlan Shah pada awal bulan lepas dan Kejohanan Hoki Piala Negara-negara di Afrika Selatan baru-baru ini pastinya menghadirkan tonik tambahan buat pasukan itu.
“Kita juga telah meletakkan dua orang pemain muda – Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim, 21, dan Shahmie Irfan Suhaimi, 20, – dalam senarai simpanan yang akan sentiasa bersiap sedia sekiranya mana-mana pemain daripada senarai 18 itu tidak dapat beraksi.” – Bernama
