Thursday, October 17, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Martabat kegemilangan seni penulisan khat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Seni penulisan khat atau kaligrafi Arab telah berkembang maju sejajar dengan perkembangan tamadun Islam yang mempunyai sejarah yang tersendiri.

    Evolusi penulisan khat dan tulisan jawi menjalani perubahan secara beransur-ansur menjadi lebih artistik sehingga lahirlah pelbagai jenis seni dan gaya penulisan seperti penulisan khat jenis Nasakh, Diwani dan Tsulus.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bersabda sedemikian semasa berkenan berangkat merasmikan Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

    Dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia menjelaskan, Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan dalam mengatur langkah ke arah memartabatkan seni khat.

    Selain berpendapat, yang tulisan jawi perlu terus diperkasa kerana ianya merupakan salah satu khazanah Islam yang sangat bernilai.

    Ke arah itu, sabdanya lagi, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan telah memulakan beberapa projek dan usaha yang memfokuskan kepada memberi dorongan dan bimbingan khususnya dalam kalangan anak-anak muda mengenai ilmu penulisan khat.

    “Dengan usaha murni ini, dapatlah kita nanti melihat dan melahirkan pakar-pakar daripada kalangan mereka yang mampu memartabatkan lagi kegemilangan seni penulisan khat di negara ini,” sabdanya.

    Di akhir sabda Duli Yang Teramat Mulia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan, Pusat Penyelidikan Islam dan Kesenian, Sejarah dan Kebudayaan Islam (IRCICA), Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Mahrajan Kaligrafi Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyampaikan sabda pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda