Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masa depan industri timah cerah

    KUALA LUMPUR, 3 Feb – Industri timah dianggap sebagai industri yang semakin merosot di Malaysia, bagaimanapun permintaan yang semakin kukuh berikutan kekurangan bekalan global, menjanjikan prospek yang cerah untuk logam berkenaan dalam tempoh terdekat.

    Menurut Pengarah Eksekutif Dewan Perlombongan Malaysia, Muhamad Nor Muhamad, penggunaan timah dunia berada sekitar 362,000 tan metrik setahun manakala pengeluaran kekal kira-kira 340,000 tan metrik setahun.

    “Disebabkan tidak ada lombong timah besar baharu dijangka dibuka dalam masa terdekat, kekurangan bekalan ini akan berterusan untuk tempoh yang agak lama.

    “Oleh itu, harga timah akan kekal kukuh pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

    Setakat hari ini, harga timah berada pada US$19,720 satu tan metrik di Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) manakala Bursa Logam London (BLL), penetap trend untuk harga logam itu, menyaksikan dagangan timah semalaman berada pada US$19,845 satu tan metrik.

    Selepas kejatuhan harga yang teruk pada 1985 yang menyaksikan harga timah jatuh lebih 50 peratus, permintaan global untuk timah telah meningkat secara kukuh daripada purata tahunan 218,600 tan metrik pada 1980-an kepada 239,600 tan metrik pada 1990-an serta 314,500 tan metrik pada 2000-an.

    Harga timah telah menjunam daripada paras US$17,000 satu tan metrik pada Jun 1985 kepada paras terendah dalam tempoh 10 tahun iaitu US$5,780 pada Mac 1986.

    Bekalan timah global juga meningkat seiring dengan permintaan daripada purata tahunan 224,800 tan metrik pada 1980-an kepada 233,400 tan metrik pada 1990-an dan 309,000 tan metrik pada 2000-an.

    Setakat 2015, Muhamad Nor berkata, China terus menjadi pengeluar timah terbesar dunia dengan pengeluaran tahunan 146,600 tan metrik dan diikuti Indonesia (68,400 tan metrik), Brazil (25,500 tan metrik), Bolivia (20,135 tan metrik), Peru (19,511 tan metrik) dan Australia, 7,158 tan metrik.

    Pada masa sama, pengeluar timah terbesar dunia itu juga menjadi pengguna terbesar komoditi tersebut dengan menggunakan 175,842 tan metrik setahun dan diikuti Amerika Syarikat (31,354 tan metrik), Jepun (26,762 tan metrik), Jerman (17,931 tan metrik), Korea Selatan (13,091 tan metrik) dan India, 8,657 tan metrik.

    Bagi Malaysia, Muhamad Nor berkata, industri timah memainkan peranan penting kepada ekonomi dengan menyumbang kira-kira RM250 juta kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), di samping menawarkan jumlah pekerjaan yang tinggi kepada penduduk tempatan, secara langsung dan tidak langsung.

    Menurutnya, negara ini mengeluarkan 4,180 tan metrik timah tahun lepas daripada 35 lombong timah yang beroperasi di Perak, Johor, Pahang, Terengganu dan Kedah.

    Berbanding senario pada 1979, ketika industri timah masih menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, jumlah timah padu sebanyak 63,000 tan metrik ketika itu merupakan 31 peratus daripada pengeluaran dunia dengan industri itu memberi pekerjaan kepada lebih 41,000 orang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda