Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid Kg Kilanas anjur majlis penutup dikir

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Selepas laungan Dikir Syarafil Anam bergema selama 12 malam berturut-turut sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Kilanas telah mengadakan majlis penutup dikir di masjid berkenaan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Ir Awang Norazmi bin Othman.

    Menurut kenyataan AJK takmir masjid berkenaan, 22 pasukan dikir dari luar kampung telah dijemput pada tahun ini untuk sama-sama memeriahkan Majlis Dikir Syarafil Anam selama 12 malam.

    Antara tujuan utama majlis dikir diadakan di masjid berkenaan adalah untuk menggalakkan semua ahli dan penduduk kampung serta jemaah masjid untuk ikut serta dan menjayakan majlis dikir.

    Di samping itu, ia juga menggalakkan masyarakat kampung untuk mengimarahkan masjid sekali gus memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan silaturahim serta menjalankan aktiviti tahunan AJK sempena Maulud Nabi Muhammad SAW.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah, diikuti Majlis Dikir Syarafil Anam yang dimulakan dengan Dikir Assala mualaika’ dan seterusnya Dikir Badatlana, Khairuman, Alhamdullilah dan Bisaharin.

    Majlis diserikan dengan persembahan Dikir Badat daripada Kementerian Pembangunan dan jemaah Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampung Jangsak, disusuli persembahan berzanji oleh Awang Muhd Fahmie bin Haji Awang Metussin

    Acara disambung semula dengan solat Isyak berjemaah, Dikir Marhaban, Doa Dikir, Doa Selamat Peliharakan Sultan dan tazkirah oleh penceramah jemputan.

    Ir Awang Norazmi hadir pada majlis penutup dikir di Masjid Kampung Kilanas kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda