Wednesday, April 23, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maskot comel penghibur masyarakat Jepun

    TOKYO – Maskot Olimpik yang comel di Tokyo 2020 boleh didapati di seluruh bandar tuan rumah itu, namun mereka mempunyai persaingan di Jepun, di mana watak berkenaan mempromosi segala-galanya daripada penjara kepada pemeriksaan kesihatan.

    Di dunia Hello Kitty dan Pokemon, maskot yang menawan hati itu memberikan wajah riang kepada perniagaan swasta dan institusi awam, dan maskot paling popular mempunyai status selebriti.

    Salah satunya yang menjadi pilihan adalah ‘pari-pari pear’ Funassyi, yang menjadi popular satu dekad lalu sebagai wakil tidak rasmi Funabashi, sebuah bandar di timur Tokyo yang terkenal dengan buah pear.

    Tidak memiliki jantina khusus dan dikenali kerana daya penarik terlampau aktif di televisyen serta perangai buruk namun bersikap baik hati, Funassyi telah memperoleh hampir 1.4 juta pengikut Twitter dan amat popular sehingga berjalan-jalan di jalan raya sahaja bakal menarik ramai peminat.

    “Adalah normal untuk orang dewasa memuja maskot di Jepun,” kata watak warna kuning terang dalam nada nyaring semasa temu bual dengan AFP.

    Choko Ohira mengajar semasa kelas berlakon maskot di bandar Tama, Tokyo. – AFP
    Gambar menunjukkan barang mainan daripada keluarga Funassyi, maskot tidak rasmi yang mewakili Bandar Funabashi, wilayah Chiba, Tokyo. – AFP
    Gambar menunjukkan Funassyi, maskot yang mewakili Bandar Funabashi, wilayah Chiba di kedai cenderahati di Funabashi, pinggir bandar Tokyo. – AFP
    Pelajar Takayuki Shimazu berlakon sebagai maskot kucing semasa kelas lakonan maskot di bandar Tama, Tokyo. – AFP

    “Ia seolah-olah kami adalah kawan,” tambah personaliti berbentuk buah pear itu, yang memakai baju monyet warna biru dan tali leher kupu-kupu merah, dan amat memuja Aerosmith dan Ozzy Osbourne.

    Pakar sering mencadangkan kegilaan Jepun terhadap maskot memang dikaitkan dengan tradisi dan kepercayaan agama penganut animisme di mana benda-benda tidak bernyawa boleh memperoleh roh.

    “Penduduk Jepun sentiasa menyembah objek-objek yang dipercayai mempunyai semangat,” menurut Funassyi, dengan penciptanya masih menimbulkan misteri dan maskot boleh menjana pendapatan lumayan.

    Take Kumamon, beruang dengan perut buncit dan pipi merah yang mempromosi rantau selatan Kumamoto. Maskot yang amat popular itu memperoleh 170 bilion yen (AS$1.5 juta) pada tahun lalu untuk perniagaan yang menjual barangan berjenama. Funassyi enggan mendedahkan angka jualan barangan berkenaan, namun ramai peminat mengerumuni kedai Funassyi Land di Funabashi untuk membeli produk berjenama.

    Tradisi maskot Olimpik sudah wujud sejak 1972 di Munich, apabila seekor anjing spesies dachshund bernama Waldi menjadi maskot rasmi pertama untuk Sukan Olimpik. Semenjak itu, setiap negara tuan rumah telah mencipta wataknya yang tersendiri melambangkan nilai-nilai dan aspek warisan budaya Olimpik, dengan versi berwajah futuristik Tokyo Miraitowa, watak berpetak-petak biru dengan mata terbeliak dan telinga tajam seperti yang digambarkan dalam buku komik.

    Kehadiran maskot adalah amat besar di Jepun sehingga Choko Ohira, 62, mengendalikan sebuah sekolah di Tokyo untuk melatih orang membuat persembahan sebagai watak yang sedap dipeluk.

    “Maskot mempunyai kuasa untuk menarik orang,” kata Ohira, yang telah mengendalikan sekolah tersebut selama 17 tahun.

    “Kanak-kanak datang dengan senyuman di wajah mereka. Mereka memegang tangan dan memeluk watak berkenaan,” tambah Ohira, yang menghabiskan bertahun-tahun membuat persembahan sebagai tikur terkenal dalam rancangan kanak-kanak di televisyen NHK.

    Dan penghibur yang sukar dite-rima akal itu memberikan orang peluang untuk bersantai dan relaks dalam masyarakat yang sibuk.

    “Dengan maskot, anda boleh melakukan aktiviti yang tidak dapat anda lakukan dengan orang lain di Jepun,” ujar Ohira. Pelajarnya, dalam pakaian kasual, pertama berlatih melambai dan berjalan dalam cara yang biasa dilakukan oleh maskot, sebelum memakai kostum saiz sepenuhnya untuk watak panda, kucing dan tupai tanah untuk menguji kemahiran baharu mereka. Pelajar Nobuko Fujiki, 61, berkata dia melihat dirinya yang ‘berlainan’ apabila berpakaian sebagai maskot.

    “Dalam kostum, saya boleh menjadi lebih peramah dan lebih aktif,” katanya.

    Ia bukan tugas yang mudah: hanya segelintir maskot memperoleh wang yang banyak, dan kostum maskot mungkin berat, sukar melihat keluar dan amat panas dalam cuaca panas terik di Jepun. Namun bekas guru tadika itu berkata dia tidak terasa sebarang ketidakselesaan apabila melihat ramai orang gembira melihat maskot kesukaan mereka.

    “Saya berasa amat teruja apabila saya melihat maskot. Maka saya mahu menjadi salah satu, memberikan pera-saan itu kepada orang lain,” katanya.

    Funassyi berkata peminat sering melihat maskot sebagai seseorang yang boleh dipercayai oleh mereka.

    “Mereka meminta nasihat saya mengenai kehidupan dan kerja…bagaimana berinteraksi dan menerima majikan yang dibenci mereka, atau apa yang patut dilakukan dengan seorang suami yang tidak pandai menyimpan baju kotor dalam bakul cucian,” kata watak pujaan itu.

    “Mereka mahu seseorang yang menghargai usaha mereka. Saya fikir mereka mencarinya dalam maskot.”

    Asako Iwate, pekerja pejabat berusia 33 tahun, berkata maskot mempunyai kesan ‘penyembuh’ untuk dirinya.

    “Apabila saya bekerja, keadaan adalah terburu-buru dan banyak tekanan,” beritahunya kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda