Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maulidur Rasul terus meriah

    Oleh Ak Zaki Kasharan, Mu’min Karim, Sim Y. H., & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Sambutan Maulud Nabi SAW terus disemarakkan dengan aktiviti-aktiviti keagamaan yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi meningkatkan lagi rasa kecintaan kepada junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

    Antara yang menyemarakkan sambutan berkenaan pada hari ini adalah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang mengadakan Majlis Ceramah Khas di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Awang Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa.

    Ceramah bertajuk ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa menghadapi Ujian: Meraih Syafaat Rasulullah SAW’ telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

    Yang Berhormat Menteri di JPM hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Ceramah Khas di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, kelmarin. Turut hadir ialah Yang Berhormat Peguam Negara. – Gambar serahan JPM
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Maulidur Rasul kelolaan Jabatan Penjara, di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sumbangan wakaf. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam di Masjid Kampung Kilanas.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menghadiri Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menabur bunga rampai bagi meraikan saudara-saudara baharu yang diraikan pada Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Dewan Digadong, KKBS, kelmarin.
    Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi KKBS.
    Antara yang hadir pada Majlis Maulidur Rasul kelolaan Jabatan Penjara, di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.
    Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.
    Gambar ramai ahli Kumpulan Dikir Azkayra semasa Majlis Penutup Dikir bagi kumpulan berkenaan, baru-baru ini.

    Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya juga telah menganjurkan Majlis Maulidur Rasul kelolaan Jabatan Penjara di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Majlis juga diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.

    Sementara itu, malam tadi, Jawa-tankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam yang berlangsung di masjid berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid. 

    Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi selaku penaung I, Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas.

    Majlis Dikir Syarafil Anam 12 malam berturut-turut bagi masjid berkenaan telah bermula pada 26 September dan berakhir pada 7 Oktober lalu, dengan menjemput 20 pasukan dari luar kampung untuk ikut serta berdikir mengikut jadual. 

    Tidak ketinggalan memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW adalah Kementerian Pendidikan melalui Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Jabatan Pengurusan Pendidik yang telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Majlis juga diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Meraih Syafaat Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Hilman bin Haji Salim.

    Manakala itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) turut menganjurkan majlis serupa di Dewan Digadong, KKBS, hari ini, yang juga diselajurkan dengan meraikan tiga saudara baharu.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Saudara-saudara baharu yang diraikan terdiri daripada Awang Muhammad Aqil Fauzan bin Abdul Rahman Dato yang merupakan pelatih Pusat Pembangunan Belia; serta Awang Shahrul Nizam bin Sulaiman dan Dayang Nurul Shahniza binti Sulaiman, kedua-duanya pelatih Pusat Bahagia Tutong

    Dalam pada itu, baru-baru ini, Kumpulan Dikir Azkayra telah mengadakan Majlis Penutup Dikir di salah sebuah rumah ahli kumpulan tersebut, Hajah Nurhayati binti Abdul Karim di Jalan Kamangsi Barat, RPN Kampung Meragang.

    Majlis berkenaan juga diisikan dengan beberapa kuiz mengenai sejarah kehidupan Rasulullah SAW.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda