MANILA, 29 MEI – Pegawai Filipina hari ini mula memindahkan ribuan orang di kampung-kampung, menutup sekolah dan pejabat serta melaksanakan larangan tiada pelayaran ke laut ketika Taufan Mawar menghampiri bahagian utara negara itu selepas menghentam wilayah Guam, Amerika Syarikat (AS).
Taufan itu dijangka membawa angin kencang selaju 155 kilometer sejam (kmsj) dan badai sehingga 190kmsj namun ia diramalkan tidak melanda kawasan pergunungan secara langsung. Ramalan pada ketika ini menunjukkan taufan itu melencong ke timur laut ke arah Taiwan atau selatan Jepun.
Pihak berkuasa juga memberi amaran bahaya ombak tinggi, banjir kilat dan tanah runtuh ketika ia melepasi wilayah paling utara, Batanes bermula Selasa hingga Rabu.
Pegawai persediaan bencana bagaimanapun mengatakan laluan taufan itu boleh berubah secara drastik dan orang ramai dinasihatkan agar berwaspada.
“Kita bercakap potensi ancaman kepada nyawa,” kata Penolong Setiausaha Raffy Alejandro dari Pejabat Pertahanan Awam memberitau Associated Press. “Ia tidak boleh diramalkan dan boleh berubah bila-bila masa,” tambahnya.
Mawar melanda Guam minggu lalu sebagai taufan paling kuat melanda wilayah Pasifik AS dalam masa lebih dua dekad, menterbalikkan kereta, menerbangkan bumbung dan menumbangkan tiang elektrik.
Anggota tentera, polis, bomba dan kumpulan sukarelawan sedang bersiap sedia bagi operasi mencari dan menyelamat di wilayah utara Batanes dan lebih daripada sejuta pek makanan telah pun disediakan bagi sebarang pelan kontigensi, kata pegawai.
Setakat ini, lebih 4,800 orang telah dipindahkan ke kawasan perlindungan di Cagayan, Batanes dan wilayah lain, kata Alejandro. Dia menambah, jumlah orang yang terjejas dijangka meningkat memandangkan pengosongan pencegahan sedang dijalankan di wilayah yang terdedah banjir dan tanah runtuh.
Gugusan kepulauan Filipina sering dihentam taufan dan kira-kira 20 taufan dan ribut sering melandanya setiap tahun, apa tah lagi ia terletak dalam lingkaran seismik di mana gunung berapi dan gempa bumi juga kerap berlaku, menjadikan ia sebuah negara Asia Tenggara yang paling terdedah dengan bencana. – AFP