Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat kanak-kanak hilang di Alps ditemui

    LE VERNET, 1 APRIL – Penyiasat Perancis telah menemui mayat kanak-kanak kecil yang hilang tahun lalu di sebuah perkampungan Alpine dalam kes yang mengejutkan negara itu, dan sedang berusaha untuk menentukan bagaimana dia mati, kata seorang pendakwa raya, kelmarin.

    Emile Soleil yang berusia dua setengah tahun hilang pada 8 Julai tahun lalu ketika tinggal bersama datuk dan neneknya. Dua daripada jirannnya telah melihatnya kali terakhir berjalan seorang diri di jalan di Le Vernet, 1,200 meter di Pergunungan Alps Perancis.

    “Polis telah dimaklumkan mengenai penemuan tulang berhampiran dusun Le Vernet Sabtu lalu,” kata pendakwa raya, Jean-Luc Blachon. Beliau menambah bahawa ujian genetik telah menunjukkan ia adalah mayat budak itu.

    “Inilah berita menyayat hati,” kata ibu bapa kanak-kanak itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan peguam mereka, Jerome Triomphe.

    Pendakwa raya tidak memberikan punca kematian, tetapi berkata penyiasat forensik terus menganalisis tulang, yang dikesan oleh pejalan kaki.

    Pendakwa raya menambah polis sedang menjalankan pencarian baharu di kawasan tempat mayat ditemui. Sekatan jalan raya telah disediakan di satu-satunya jalan ke Le Vernet, kelmarin.

    Emile menghilangkan diri sehari selepas dia tiba di kampung untuk tinggal bersama datuk dan nenek sebelah ibunya untuk bercuti.

    Budak kecil itu memakai kemeja-T kuning, seluar pendek putih dan kasut mendaki kecil, kata penyiasat pada masa itu. – AFP

    Gambar ini menunjukkan pemandangan umum dusun Alpine Le Haut-Vernet pada 31 Mac, selepas penyiasat Perancis menemui ’tulang’ seorang kanak-kanak kecil yang hilang musim panas lalu berhampiran kampung kecil itu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda