UTHAI SAWAN, 10 OKT – Relau sementara diperbuat daripada batu-bata dibina hari ini di tapak kuil-kuil Buddha di sebuah bandar kecil di timur laut Thailand menjelang pembakaran mayat mangsa cilik yang dibunuh secara beramai-ramai minggu lalu di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak oleh bekas anggota polis.
Serangan kejam dengan pistol dan pisau pada Khamis lalu di Pusat Pembangunan Kanak-kanak di Uthai Sawan mengorbankan 36 orang, termasuk 24 kanak-kanak.
Ia merupakan pembunuhan beramai-ramai terbesar oleh seorang individu dalam sejarah negara itu.
Phra Kru Adisal Kijjanuwat, ketua kuil Rat Samakee, kira-kira 3 kilometer dari tapak pertumpahan darah itu mengatakan 19 mangsa akan dibakar dalam majlis perkumpulan pada Selasa, membawa kepada penamatan majlis berkabung selama tiga hari bagi keluarga mereka. Menurutnya, mayat-mayat akan dibakar pada masa sama di atas relau terbuka menggunakan arang batu bagi memastikan keluarga tidak menunggu lama.
“Kami hanya mempunyai sebuah relau di kuil dan kami tidak mahu sebarang keluarga menunggu bagi proses pembakaran yang panjang,” katanya.
Sami itu menjelaskan relau-relau sementara dipasang berhampiran dua lagi kuil berhampiran bagi mangsa-mangsa yang lain.
Menurutnya, lima buah keluarga memilih majlis pengebumian berasingan daripada kumpulan tersebut. – AP
