Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    McDonald’s, Biofield jalin kerjasama

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Ke arah usaha menjalin komitmen bersama dalam penjagaan alam sekitar khususnya menerusi penukaran sisa makanan kepada kompos dan baja sekali gus menyumbang kepada dunia yang lebih bersih dan sihat untuk generasi akan datang, McDonald’s Brunei telah menandatangani perjanjian (MoU) bersama Biofield, sebuah syarikat yang pakar dalam menukar sisa makanan kepada kompos dan baja, pada majlis yang berlangsung di McDonald’s Brunei cawangan Gadong, pagi tadi.

    Hadir bagi menyempurnakan sesi penandatanganan perjanjian sebagai hubungan strategik kedua-dua syarikat untuk mewujudkan penanda aras baharu dalam amalan mampan berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah McDonald’s Brunei, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adnan yang juga selaku tetamu kehormat; dan Dr Vanessa Teo, wakil bagi Biofield.

    Dalam ucapan, Pengurus Am McDonald’s Brunei, Awang Mohamad Al-Fatah bin Haji Seruji antaranya mengongsikan bahawa sebelum termeterainya perjanjian berkenaan, McDonald’s Brunei dan Biofield telah memulakan projek perintis di McDonald’s Lambak.

    Beliau berkata sepanjang bulan lalu, Biofield mengumpul sisa makanan, termasuk kulit telur dan biji kopi. Mereka berjaya memprosesnya menjadi kompos dan baja.

    Oleh yang demikian, usaha Biofield bukan sahaja akan membantu dalam menguruskan sisa makanan tetapi juga memberikan manfaat kepada pesawah tempatan dengan menyediakan baja atau kompos yang berpatutan kepada mereka berbanding mengimportnya.

    Awang Edzwan Zukri dan Dr Vanessa Teo menandatangani dokumen pada majlis penandatanganan perjanjian bertempat di McDonald’s Brunei cawangan Gadong, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Sejajar dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap tanggungjawab alam sekitar, McDonald’s Brunei berusaha untuk mengurangkan kesannya terhadap sisa alam sekitar.

    Melalui perkongsian strategik dengan Biofield, tumpuan utama adalah untuk melaksanakan strategi pengurusan sisa yang canggih, merangkumi pengasingan sisa kepada kategori organik dan bukan organik di cawangan McDonald’s.

    Inisiatif itu dilengkapi dengan pendidikan bagi memberikan kesedaran kepada pelanggan tentang amalan pelupusan sisa yang bertanggungjawab.

    Sehubungan itu, demi meningkatkan dedikasi terhadap kemapanan, McDonald’s Brunei dengan kerjasama Biofield turut menghulurkan sokongan kepada petani komersial tempatan, termasuk mereka yang terlibat dalam penanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan hortikultur, seperti yang disarankan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

    Usaha itu bertujuan untuk membimbing para petani dalam peralihan ke arah amalan mampan dengan menggabungkan penggunaan baja organik.

    Rancangan untuk musim akan datang melibatkan kerjasama rapat dengan petani padi bagi mengenal pasti strategi untuk peremajaan tanah dan pengurangan jejak karbon.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...