Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    McDonald’s Brunei wakaf 370 helai sejadah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Sempena ulang tahun penubuhannya ke-30 hari ini, McDonald’s Brunei telah mewakafkan sebanyak 370 helai sejadah kepada lapan buah masjid, dua balai ibadat dan sebuah surau di Daerah Temburong.

    Penyerahan sejadah wakaf telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Ajmin bin Haji Meludin selaku tetamu kehormat majlis dan diterima oleh Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu selaku wakil bagi semua masjid dan balai ibadat di Daerah Temburong.

    Pengurus Besar Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s Brunei), Awang Mohamad Al-Fatah bin Haji Seruji dalam ucapannya menjelaskan bahawa program seumpamanya merupakan salah satu inisiatif perhubungan korporat McDonald’s Brunei di bawah platform Indahnya Bersedekah.

    Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk mendekatkan lagi komuniti-komuniti di Daerah Temburong.

    Inisiatif seumpamanya, jelas beliau, juga selaras dengan ajaran agama Islam yang sangat mementingkan umatnya untuk sentiasa berbaik-baik sesama sendiri serta dapat mengamalkan gaya hidup yang saling tolong-menolong dengan cara melaksanakan amalan bersedekah, kerana dengan cara demikian akan dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi tanpa mengira hubungan kekeluargaan, kaum kerabat mahupun sahabat handai.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam dengan bantuan pengagihan sejadah kepada semua masjid dan balai ibadat di Daerah Temburong.

    Awang Ajmin, Awang Mohamad Al-Fatah dan Haji Asminan semasa majlis penyerahan wakaf sejadah.
    Awang Ajmin, Awang Mohamad Al-Fatah, Haji Asminan dan antara peserta yang hadir bergambar ramai semasa majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda