Monday, March 17, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Medan asah bakat perniagaan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang baru telah menyediakan peluang menarik kepada para peniaga dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka, dan selain itu, ia juga menjadi medan bagi sejumlah graduan ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda untuk mengasah bakat memulakan perniagaan.

    Mereka diberikan peluang bagi merasakan sendiri cara berniaga dari bawah dan mendapatkan pengalaman serta pengajaran daripada peluang berkenaan.

    Salah seorang graduan tersebut, Awang Muhammad Izwan bin Haji Mohd Yunos ketika ditemui berkata, beliau akan menggunakan peluang ini dengan sebaiknya untuk menguji produk mereka dan berinteraksi dengan pelanggan serta berharap untuk mengembangkan usaha dalam masa terdekat.

    Beliau bersama beberapa orang rakannya menubuhkan Syarikat Ombak Enterprise, menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis makanan, antaranya Nasi Briyani, Spageti, dan juga Kebab Shawarma di pasar berkenaan.

    Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar semasa menyampaikan ucapannya di majlis pembukaan rasmi Pasar Pelbagai Barang Gadong, kelmarin.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan tetamu kenamaan semasa menyaksikan petak jualan cendol di Pasar Pelbagai Barang Gadong.

    Seorang lagi graduan, Awang Nur Azlan bin Abdul Rahman, lulusan HND dari Loughborough College, United Kingdom pula memberitahu, Skim Mikro Kredit di bawah DARe telah membantu para graduan dalam persediaan yang kukuh dalam memulakan perniagaan mereka.

    Beliau bersama-sama dengan rakan-rakan graduan yang lain mempunyai satu kawasan di pasar berkenaan untuk menjual barangan makanan buatan sendiri termasuk cendol istimewa pelbagai perisa.

    Antara yang hadir pada majlis pembukaan rasmi Pasar Pelbagai Barang Gadong kelmarin.
    Antara yang hadir pada majlis pembukaan rasmi Pasar Pelbagai Barang Gadong kelmarin.
    Awang Nur Azlan bersama rakan-rakannya ketika ditemui Media Permata.
    Awang Nur Azlan bersama rakan-rakannya ketika ditemui Media Permata.
    Nurul Haziqah (hujung kanan) bersama rakan-rakan niaganya bagi ‘Truly for You’.
    Nurul Haziqah (hujung kanan) bersama rakan-rakan niaganya bagi ‘Truly for You’.
    Awang Muhammad Izwan (hujung kiri) bersama rakan-rakannya di bawah Syarikat Ombak Enterprise.
    Awang Muhammad Izwan (hujung kiri) bersama rakan-rakannya di bawah Syarikat Ombak Enterprise.

    Seorang lagi peniaga daripada kalangan graduan universiti, Dayang Nurul Haziqah binti Haji Mohd Suffian yang merupakan pemilik bersama ‘Truly for You’, iaitu gerai kopi yang menawarkan kopi gourmet kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan, berterima kasih kerana dipilih dalam mengambil bahagian di pasar baru berkenaan dan juga kerana peluang untuk menguji permulaan perniagaan mereka.

    Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang dirasmikan hari ini turut menyediakan pelbagai jenis kemudahan, termasuklah surau, tandas, sinki bagi tempat mencuci, paip air, soket elektrik, tempat pembuangan sampah bagi para peniaga, serta kerja-kerja rutin dalam pemeliharaan dan kawalan kebersihan oleh syarikat yang diupah, serta kelengkapan keselamatan kebakaran yang disediakan di setiap gerai jualan.

    Para peniaga di situ dibenarkan untuk berniaga bermula dari jam 3 petang hingga jam 12 tengah malam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda