Penyanyi Meer Nash membuat kejutan apabila membuat persembahan secara crosswalk di lampu isyarat berhadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersama pengacara sensasi, Azwan Ali.
Meer Nash atau Muhammad Shahmeer Mohd Nasrul, 27, berkata idea itu direalisasikan untuk memberi kelainan dari segi mempromosikan lagunya, Kajima sekali gus membuktikan industri hiburan di negara ini berpengaruh.
Selain itu, Meer Nash berkata persembahan tersebut tular ekoran kemunculan Azwan atau Diva AA kerana ia belum pernah dibuat oleh mana-mana penyanyi tempatan sebelum ini.
Kata Meer Nash, idea membuat persembahan crosswalk ini adalah inspirasi daripada rancangan bual bicara The Late Late Show With James Corden iaitu James Corden Crosswalk Concert yang melibatkan beberapa artis ternama.
“Kita cuba pelbagaikan idea dari segi mempromosikan lagu dan untuk menunjukkan kepada industri kita yang mana ada banyak lagi cara yang boleh dibuat dan bukan saja atas pentas. Namun, di mana-mana saja boleh,” jelas Meer Nash.
“Contoh, luar dari kotak adalah buat persembahan di crosswalk lampu isyarat. Dalam masa sama, boleh menghiburkan mereka yang sedang tunggu lampu bertukar hijau,” tambahnya.
Tambahan pula, dia berkata persembahan itu merupakan idea segar dan sekurang-kurangnya mereka yang belum tahu tentang lagu Kajima boleh mendengarnya secara langsung. – Agensi