Oleh Mu’min Karim
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Syarikat Latihan Megamas Sdn Bhd dan Bandtree Sdn Bhd telah dijemput untuk mewakili Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Persidangan ASEAN-Occupational Safety and Health Network (ASE-AN-OSHNET) ke-9 dan Majlis Anugerah ASEAN-OSHNET ke-4 yang berlangsung secara maya 30 September lalu.
Penyertaan tersebut adalah atas undangan Ketua Pengarah Jabatan Pemeriksaan Kilang dan Undang-undang Buruh Am (FGLLID), Kementerian Buruh (MOL) Myanmar, Tin Ko Ko dan ia membawa tema Memperkukuh Sistem Pemeriksaan OSH untuk Tempat Kerja yang Lebih Baik.
Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi berkata bahawa ASEAN telah melakukan usaha besar untuk menggalakkan trend pertumbuhan ekonomi ASEAN dan langkah keselamatan serta kesihatan pekerjaan dan komited memperkukuh perkongsian awam-swasta dan komitmen keselamatan.
Pada acara tersebut, Ketua Pengarah FGLLID telah menyampaikan pingat dan penganugerahan sijil kepada pegawai daripada syarikat yang menang terdiri daripada negara anggota ASEAN.
Anugerah Kecemerlangan ASEAN-OSHNET disampaikan setiap dua tahun sekali untuk mengiktiraf prestasi cemerlang sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan bagi menggalakkan pelaksanaan amalan mengenai amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan dalam perusahaan kecil dan sederhana.

Dalam acara itu, Myanmar memenangi satu anugerah kecemerlangan dan satu anugerah amalan terbaik.
Antara anugerah yang diterima oleh wakil dari Negara Brunei Darussalam termasuk Anugerah Kecemerlangan ASEAN-OSHNET oleh Syarikat Latihan Megamas dan Anugerah Amalan Terbaik ASEAN-OSHNET oleh Bandtree.
Semasa persidangan itu, Pengurus Besar Syarikat Latihan Megamas, Michael Stringer turut menyampaikan pembentangan mengenai memperkukuh sistem pemeriksaan OSH untuk tempat kerja yang lebih baik.
Semasa pembentangannya, beliau antara lain menekankan bahawa Autoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) merupakan agensi fokal kebangsaan bagi ASEAN-OSHNET.