Oleh Amri HTZ –
Bersantai sambil menikmati minum petang pada meja kopi dianggap sebagai terapi semula jadi bagi sesetengah masyarakat.
Ada di antaranya pula lebih suka duduk pada sofa pilihan sambil menonton rancangan pilihan. Namun dengan kedudukan meja yang terlalu jauh dari sofa tempat duduk menjadikan pilihan ini kurang diminati.
Oleh itu bagi menyelesaikan masalah ini, meja-C diperlukan memandangkan ia mudah bagi dialih dekat dengan tempat duduk untuk menikmati hidangan dengan tenang.
Antara barang diperlukan
Mesin pemotong kayu meja
Mesin router
Kepingan papan
Pasak kayu
Kertas pasir
Gam kayu
Alat pengapit kayu
Pita pengukur
POTONG KAYU TERSEDIA
Dua jenis kayu berbeza warna akan digunakan pada projek ini. Kayu berwarna gelap khusus untuk rangka rekaan sementara yang cerah untuk permukaan utama meja.
Potong papan tersedia dengan ukuran 3½ x 23 x ¾ inci dua batang untuk tiang meja, 3 x 22 x ¾ inci empat batang (bahagian atas dan bawah) dan lima batang kayu berukuran 4 ¼ x 12 x ¾ inci bagi permukaan atas meja serta kayu sokongan 2 x 12 x ¾ inci (tiga batang) yang akan menyambungkan struktur rekaan menjadi satu. (Gambar 2)












JIG KHUSUS SEBAGAI PILIHAN
Kayu bahagian atas dan bawah akan mempunyai lebar yang sedikit unik untuk memberikan kelainan pada rekaan. Salah satu bahagian hujung mempunyai lebar 3 inci manakala bahagian hujung satu lagi 2 inci. Untuk merekanya jig diperbuat daripada papan lapis dan kepingan papan yang ditetapkan bagi menentukan bentuk yang dipotong. (Gambar 3)
Setelah berjaya mereka jig khusus tersebut, kini awda hanya perlu meletakkan kayu 3 x 22 x ¾ inci pada kedudukannya. Pastikan langkah pemotongan dimulakan daripada kedudukan 3½ inci dari bahagian hujung yang mempunyai lebar 3 inci. Ini bagi memastikan ketika kaki meja ditetapkan, kedudukannya kekal pada 90 darjah (rata seperti meja pada kebiasaannya). (Gambar 4)
BENTUK KAKI MEJA GUNA ROUTER
Pada kedua-dua bahagian hujung kayu kaki meja akan mempunyai lebar 3½ inci manakala bahagian tengahnya pula berukuran 3 inci. Oleh itu ini memerlukan awda membuangkan bahagian tengah (salah satu sisi yang akan dijadikan bahagian luar kaki) menggunakan mesin router. Straight cut bit diperlukan pada langkah ini namun sebelum melakukannya, tandakan ruangan yang akan dibuang menggunakan pensel. (Gambar 5)
Bagi mengukuhkan cantuman rekaan, bahagian tengah sudut cantuman akan ditebuk untuk ruangan kayu pasak dimasukkan. Untuk menetapkan kedudukannya, cantumkan sementara setiap bahagian dan tandakan menggunakan pensel. (Gambar 6)
Setelah menandakannya, tebuk ruangan tengah kayu dengan bentuk dan ukuran pasak digunakan. Pada kebiasaannya, pasak berbentuk bulat mudah didapatkan namun
pasak berbentuk segi empat sama boleh digunakan dengan memanfaatkan lebihan potongan kayu sebelumnya. Teknik mereka ruangan pasak boleh dengan cara menggerudinya atau menggunakan pahat kayu. (Gambar 7)
BULATKAN HUJUNG KAYU
Bahagian hujung kayu untuk atas dan bawah yang berukuran 2 inci akan dibulatkan sudut luarnya menggunakan mesin kertas pasir dengan ukuran 80 grit. Selain itu keseluruhan permukaan kayu juga akan dihaluskan dengan cara menggosoknya menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit. (Gambar 8)
Selain itu bahagian dalamnya pula akan direka dengan ruangan untuk memasukkan pasak kayu untuk kelima-lima batang kayu 4¼ x 12 x ¾ inci. Lakukan langkah yang sama seperti sebelumnya untuk menetapkan kedudukan serta menebuk ruang bagi pasak. (Gambar 9)
CANTUM JADI SATU
Mulakan dengan mencantumkan kaki meja dan kayu bahagian atas dan bawah. Sapukan permukaan cantuman dan isikan ruangan pasak dengan gam kayu. Kekalkan kedudukannya sehingga gam mengering menggunakan gam kayu sebelum membolehkan awda meneruskan langkah mencantumkannya dengan bahagian lain. (Gambar 10)
Ini diikuti dengan kayu bahagian sokongan untuk menyambungkan kedua-dua bahagian kaki rekaan menjadi satu termasuk lima keping papan bagi permukaan utama rekaan. (Gambar 11)
Sebagai langkah terakhir, setelah gam mengering, keseluruhan permukaan kayu akan disapukan dengan wood finish pilihan untuk melindungi rekaan. Sekurang-kurangnya dua lapisan diperlukan dengan memberikan masa untuknya menyerap sebelum menyapukan lapisan seterusnya.
Dengan langkah ini, kini awda boleh menikmati waktu bersantai dengan lebih tenang tanpa perlu berulang-alik mencapai kopi dinikmati yang pada kebiasaannya diletakkan pada meja utama ruangan.
Tip rekaan
Selain menggunakan jig, untuk membentuk sudut potongan pada kayu, mesin bandsaw juga boleh digunakan.
Gunakan gam kayu yang weatherproof bagi memastikan ia kekal kukuh ketika berdepan kelembapan.









