Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memandu secara berhemah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Umat Islam diseru agar sentiasa melakukan kewajiban untuk menjaga nyawa daripada perkara-perkara yang memudaratkan kerana ia merupakan suatu perintah Allah.

    Mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memberi manfaat kepada orang lain adalah merupakan ciri-ciri pemandu yang beriman.

    “Memandulah dengan hati iaitu dengan membetulkan niat, berdoa, mengisikan masa dengan zikrullah dan perkara bermanfaat, mematuhi peraturan dan undang-undang serta bersyukur.”

    Perkara ini dijelaskan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Fariszal bin Ali, yang merupakan seorang dai’e bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) ketika menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Nyawa Bukan Sebahagian Alat Kenderaan’ semasa Program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.

    Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran  Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Program berkenaan dikelolakan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan  Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan disokong oleh Jabatan Perdana Menteri.

    Ianya merupakan satu program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

    Program ini juga memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara ‘Bandarku Ceria’, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah, di samping merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

    Awang Fariszal semasa menyampaikan tazkirah di Masjid SOAS yang turut dihadiri oleh menteri-menteri kabinet kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda