LONDON, 6 SEPT – Seorang lelaki yang membakar tong sampah yang diletak di depan pintu sebuah hotel yang menempatkan pencari suaka telah dihukum penjara sembilan tahun, hukuman terpanjang yang dijatuhkan ke atas mereka yang terlibat dalam gelombang rusuhan sayap kanan di England bulan lalu.
Pada sesi perbicaraan di Mahkamah Sheffield Crown di utara England hari ini, pelukis dan penghias, Thomas Birley mengaku bersalah atas tuduhan membakar dengan niat untuk membahayakan nyawa di hotel Holiday Inn Express di Rotherham.
Hakim Jeremy Richardson memberitahu Birley, 27, bahawa kesnya ‘tanpa diragui’ adalah salah satu yang paling serius daripada puluhan kes yang telah dikendalinya dalam sebulan yang lalu berhubung dengan rusuhan di luar hotel pada 4 Ogos. Dia berkata dia telah mempertimbangkan hukuman penjara seumur hidup.
Mahkamah mendengar bagaimana Birley terbabit dalam banyak insiden paling teruk pada petang Ahad itu, termasuk menambah kayu dalam api di dalam tong sampah, yang ditekan pada pintu keluar dan membantu meletakkan tong sampah di atas tong yang terbakar.
Birley juga dirakam melemparkan objek kepada polis, berdepan pegawai sambil mengayunkan belantan polis dan membaling tong sampah besar yang merempuh barisan polis dengan perisai rusuhan. – AP