Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Membangkitkan selera

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Nasi arab mandy merupakan salah satu hidangan dari Timur Tengah yang boleh dikatakan kena dengan ‘tekak’ orang melayu. 
     
    Walaupun hidangan ini rumit untuk disediakan tapi yang penting adalah kelazatannya dan keistimewaan sajian ini.
     
    BAHAN-BAHAN
     
    Bercerita secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi arab mandy ayam ini terbahagi kepada beberapa bahagian, yang pertama bahan-bahan untuk rempah mandy adalah seperti ketumbar, jintan putih, lada hitam, bunga cengkih, buah pelaga, kayu manis dan daun salam kering.
     
    Manakala bahan-bahan yang diperlukan untuk nasi mandy adalah seperti beras basmathi, air secukupnya untuk direndam, minyak sapi, bawang holland, bawang putih, cili hijau, cili padi, rempah mandy, rebusan ayam, kismis hitam dan garam secukup rasa. Bahan-bahan untuk sapuan ayam pula adalah seperti minyak zaitun, serbuk smoked paprika/serbuk cili, sedikit pewarna kuning, jus lemon dan rempah mandy.
     
    Bahan-bahan yang diperlukan untuk salad pula adalah seperti timun, tomato, bawang holland, garam, gula, serbuk lada hitam, jus lemon dan daun ketumbar. 
     
    Gambar Canva
    Gambar Canva
    Gambar Canva
    Gambar Canva
    Gambar Canva
    Manakala bahan-bahan untuk sos harrah pula adalah seperti bawang putih, tomato, cili padi, lemon, cili merah, daun dan batang ketumbar, jus lemon, sedikit garam dan gula.
     
    Bahan-bahan yang diperlukan untuk supnya pula adalah seperti baki air rebusan ayam (setelah keluarkan air rebusan untuk nasi), garam secukup rasa, serbuk kunyit, serbuk lada hitam, serbuk lada sulah dan hirisan daun ketumbar. 
     
    CARA PENYEDIAAN
     
    Cara-cara untuk menghasilkan rempah mandy, mula-mula panaskan kuali dan sangai bahan-bahan rempah mandy sehingga naik bau dalam anggaran masa 5 hingga 7 minit selepas itu kisar bahan rempah sehingga agak halus.
     
    Seterusnya cara-cara untuk menyediakan nasi mandy pula, mula-mula rendam beras dengan air secukupnya hingga lembut dengan anggaran 30 minit. Panaskan minyak sapi lalu tumis hirisan bawang holland sehingga lembut dan layu. Selepas itu masukkan bawang putih, cili padi hijau, rempah mandy, stok rebusan ayam, kismis hitam, rendaman beras basmathi yang telah dibasuh bersih dan garam secukup rasa. Kemudian tutup dengan aluminium foil ataupun kain dan masak nasi dengan api yang perlahan, selepas nasi sudah masak, tambah sedikit pewarna kuning telur atau saffron.
     
    Cara-cara untuk menghasilkan rebusan ayam pula, mula-mula panaskan minyak masak lalu tumis daun salam, kayu manis, lada hitam dan hirisan bawang holland. Tumis sehingga bawang holland menjadi lembut. Kemudian masukkan air, kiub ayam, ayam dan rempah mandy. Selepas itu rebus ayam dalam anggaran masa 20 hingga 30 minit dengan api yang sederhana. Sediakan bahan sapuan ayam dengan campurkan minyak zaitun, serbuk smoked paprika, sedikit pewarna kuning, jus lemon dan rempah mandy lalu kacau hingga sekata.
     
    Selepas ayam masak, sapukan permukaan ayam dengan bahan sapuan lalu perapkan seketika. Setelah itu bakar ayam pada suhu 180C hingga 200C dengan menggunakan api atas sahaja dalam anggalan masa 15 minit.
     
    Cara untuk membuat supnya pula, mula-mula panaskan baki air rebusan ayam untuk sup, kemudian masukkan garam secukup rasa, serbuk kunyit, serbuk lada hitam, serbuk lada sulah dan hirisan daun ketumbar dan masak sehingga sup mendidih.
     
    Manakala cara-cara untuk menyediakan sos harrah, mula-mula kisar bawang putih, tomato, cili padi, cili merah (pilihan), daun dan batang ketumbar tanpa aor dan kisar kesemua bahan tidak terlalu halus. Selepas itu perasakan sos yang telah dikisar dengan jus lemon, sedikit garam dan gula.
     
    Dan yang terakhir sekali cara-cara untuk hidang nasi arab mandy berempah adalah hidangkan nasi mandy dengan ayam panggang, salad, sos harrah, sup kosong bersama potongan cili hijau dan hirisan lemon, kemudian nasi arab mandy ayam berempah pun siap untuk dihidang. Selamat mencuba.
     
    BAHAN-BAHAN:
     
    • Bahan-bahan untuk rempah mandy:
    o biji ketumbar
    o jintan putih
    o lada hitam
    o bunga cengkih
    o buah pelaga
    o kayu manis
    o daun salam kering
     
    • Bahan-bahan untuk nasi mandy:
    o beras basmathi extra long
    o air secukupnya untuk rendam
    o minyak sapi
    o bawang holland
    o bawang putih 
    o cili hijau
    o cili padi
    o mandi
    o rebusan ayam
    o kismis hitam
    o beras basmathi
    o garam secukup rasa
     
    • Bahan-bahan untuk rebusan ayam:
    o minyak masak
    o daun salam
    o kayu manis
    o lada hitam
    o bawang holland
    o air
    o kiub ayam
    o ayam
    o rempah mandy
     
    • Bahan-bahan untuk sapuan ayam:
    o minyak zaitun
    o serbuk smoked paprika/serbuk cili
    o Sedikit pewarna kuning
    o jus lemon
    o rempah mandi
     
    • Bahan-bahan untuk salad:
    o timun
    o tomato
    o bawang holland
    o sedikit garam
    o sedikit gula
    o serbuk lada hitam
    o jus lemon
    o daun ketumbar
     
    • Bahan-bahan untuk sos harrah:
    o bawang putih
    o tomato
    o cili padi
    o lemon
    o cili merah
    o daun dan batang ketumbar
    o jus lemon
    o sedikit garam
    o sedikit gula
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...