Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Banjir, tanah runtuh di utara Vietnam ragut tiga nyawa

    HANOI, 10 JUN – Banjir dan tanah runtuh di utara Vietnam telah membunuh tiga orang, kata media kerajaan hari ini, selepas hujan lebat selama beberapa hari yang menenggelamkan sebahagian ribuan rumah.

    Gambar-gambar dalam media kerajaan menunjukkan air mengalir deras di jalan-jalan curam di wilayah pergunungan Ha Giang, tempat popular yang biasa dikunjungi menggunakan motosikal.

    Imej-imej juga menunjukkan kenderaan terbalik dan ditinggalkan dalam banjir, selain penduduk di bandar Ha Giang berdiri di atas bumbung menunggu untuk diselamatkan.

    Hujan lebat dan berterusan telah turun di wilayah itu sejak Sabtu.

    Ribuan rumah sebahagiannya telah ditenggelami air dan banyak jalan raya rosak, kata media kerajaan.

    Pasukan penyelamat memindahkan kanak-kanak ke dalam bot kembung selepas kawasan mereka dibanjiri akibat hujan lebat di wilayah Ha Giang utara Vietnam pada 10 Jun. – AFP

    Air pasang di sungai Lo telah mencetuskan ‘banjir dan tanah runtuh,’ menurut kenyataan di laman web pihak berkuasa wilayah.

    Akses ke tiga kampung yang bersempadan dengan China telah terputus akibat tanah runtuh, kata kenyataan itu.

    Menurut Voice of Vietnam yang dikendalikan kerajaan, tiga orang maut selepas dihanyutkan dalam arus banjir atau tertimbus dalam tanah runtuh.

    Pada hujung minggu, banjir ekstrem turut dilaporkan di bandar pelabuhan utara Hai Phong dan wilayah Quang Ninh di mana tapak Warisan Dunia UNESCO, Ha Long Bay terletak.

    Vietnam sering dilanda cuaca buruk pada musim hujan antara Jun dan November.

    Tahun lalu, bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh menyebabkan 169 orang maut atau hilang di negara Asia Tenggara itu.

    Para saintis telah memberikan amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia menjadi lebih sengit dan kerap berlaku disebabkan oleh perubahan iklim. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...