Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Membangunkan bakat jurutera tempatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Penerbangan Diraja Brunei (RB) terus memberikan penekanan kepada membangunkan bakat tempatan di mana Program Perantis Kejuruteraan RB adalah selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

    Ini adalah untuk memastikan warga Brunei yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan cemerlang serta menikmati kualiti kehidupan tertinggi yang diperlukan oleh sebuah negara maju supaya negara mempunyai ekonomi yang mampan dan dinamik menjelang 2035.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapannya pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Perantis Kejuruteraan Pengambilan ke-28 yang berlangsung di Kampus RB, hari ini.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Kementerian Pendidikan, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim.

    Beliau turut menambah bahawa program yang telah berjalan sejak 1976 itu membolehkan RB untuk melatih dan membangunkan keupayaan kejuruteraan bagi memenuhi keperluan program sokongan dan penyelenggaraan kejuruteraan pesawat.

    Kapten Sabirin semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Perantis Kejuruteraan Pengambilan ke-28, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Dr Haji Azman bergambar ramai bersama perantis baharu pada majlis penandatanganan yang diadakan di Kampus RB, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Kapten Sabirin berbual bersama perantis baharu pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara perantis menandatangani perjanjian pada majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Bagi RB, mempunyai jurutera tempatan berkelayakan penuh yang dilahirkan dalam program pembangunan dan latihan RB adalah amat kritikal kerana ia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan di Brunei serta harus berdikari dalam membangunkan bakat tempatan.

    Dalam ucapannya lagi, Kapten Sabirin menyatakan bahawa penandatanganan perjanjian itu merupakan satu acara yang amat bermakna bagi para perantis baharu di mana mereka dipilih berdasarkan kepada prestasi cemerlang dan potensi besar yang ditunjukkan semasa tempoh penilaian.

    RB, ulasnya, mempunyai harapan bahawa mereka mempunyai tahap ketekunan yang tinggi untuk membangun menjadi jurutera berkeyakinan dengan kemahiran yang bersesuaian kerana matlamat RB adalah sentiasa mengutamakan keselamatan serta kebolehpercayaan aset-asetnya bagi tetamu mereka.

    “Kami berharap awda akan teruja dalam pembelajaran untuk menjadi seorang jurutera, bekerja keras dan kembali ke Brunei dengan kecemerlangan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan RB,” ujarnya lagi.

    Pada majlis berkenaan, enam orang perantis jurutera telah terpilih daripada 483 orang calon yang disenarai pendekkan melalui proses pemilihan dan penilaian yang ketat bagi menjadi sebahagian daripada Program Perantis Kejuruteraan RB.

    Perantis terpilih ialah Awangku Mohd Hardifadillah bin Pengiran Maswani, Awang Muhammad Syafiq bin Haji Hasnul Fikri, Awang Muhammad Haziq Fadli bin Zambahri, Jin Yi Lim, Samuel Sim Guo Ping dan Awang Muaz Munawwir @ Abdul Muaz bin Haji Mohammad Affno.

    Menandatangani bagi pihak RB ialah Kapten Sabirin, Ketua Pegawai Warga dan Prestasi RB, Haji Abdul Nasir Haji Bolhassan dan Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Darat RB, Hajah Masrini Abdullah.

    Perantis baharu berkenaan akan memulakan latihan kejuruteraan mereka di sekolah kejuruteraan berakreditasi dan diiktiraf sepenuhnya di Scotland dan akan kembali setelah 20 bulan untuk memulakan kerjaya penerbangan dan kejuruteraan mereka di RB.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda