Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Membudayakan Bahasa Arab

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara membuka tirainya hari ini di Dewan Tarbiyyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan perasmian persidangan itu ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud yang turut menyampaikan ucaptama.

    Beliau antara lain berkata, tema persidangan iaitu ‘Al-Arabiyyah: Bahasa dan Tamadun Umat Islam’ adalah sangat tepat dan sesuai kerana tidak syak lagi Bahasa Arab adalah milik umat Islam sejagat dan bukan hanya bagi bangsa Arab semata.

    Menurutnya, ini kerana ibadah yang umat Islam lakukan seperti solat, puasa, haji, membaca Al-Quran dan sebagainya tidak dapat lari daripada penggunaan Bahasa Arab dan kepentingannya untuk dipelajari tidak dapat dipertikaikan sejak dulu lagi kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

    Sehubungan dengan itu, sukar bagi umat Islam untuk dapat memahami rujukan utama dalam bidang ilmu agama seperti syariah, perundangan, muamalat, ibadat dan sebagainya tanpa merujuk kepada kitab-kitab muktabar yang mana setentunya menggunakan Bahasa Arab.

    Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan ucapannya sambil disaksikan oleh Dr. Haji Hambali.
    Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan ucapannya sambil disaksikan oleh Dr. Haji Hambali.

    Menyentuh mengenai Bahasa Arab di Brunei, beliau berkata bahawa persekolahan Arab di negara ini telah bermula pada 1941 sehinggalah ia tersekat disebabkan penaklukan Jepun pada tahun 1942.

    Dengan kebijaksanaan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, tambah beliau, Sekolah Arab dibina semula pada tahun 1964 dengan nama Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah yang telah melahirkan para ilmuan dalam pelbagai bidang tidak terkecuali Bahasa Arab.

    Pada tahun 2004, Bahasa Arab telah dijadikan sebagai mata pelajaran yang dipelajari di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan seterusnya menjadi pelajaran wajib bagi sekolah-sekolah agama bermula 2011.

    Ini, jelasnya, menujukan keprihatinan kepimpinan Baginda Sultan dalam menjadikan Bahasa Arab sebagai syiar umat Islam di negara ini.

    Namun dengan jumlah penduduk Asia Tenggara seramai 273,300,000 dengan pelbagai bahasa dan loghat yang berbeza, sudah tiba masanya untuk menjadikan Bahasa Arab sebagai pilihan bahasa komunikasi dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara selain Bahasa Inggeris.

    Ia bukanlah perkara yang mudah namun tidak mustahil jika disertai keazaman dan iltizam yang tinggi.

    Oleh itu, beliau berharap melalui persidangan berkenaan akan mencapai mekanisme yang terbaik dalam membudayakan Bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara.

    Antara para jemputan yang hadir di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara.
    Antara para jemputan yang hadir di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara.

    Manakala itu, Pengarah Pusat Bahasa KUPU SB, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Persidangan dalam ucapannya menjelaskan, persidangan dua hari itu julung-julung kalinya diadakan dan merupakan anjuran bersama KUPU SB dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Persidangan itu, jelasnya lagi, bertujuan untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat tentang peluang-peluang pembelajaran Bahasa Arab dan keberkesanannya yang antara lain termasuk isu-isu semasa serta keperluan ke arah pembangunannya bersandarkan kajian ilmiah sebagai landasan pengukuhan peluang dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab masa hadapan.

    Di samping itu dapat meningkatkan iltizam berterusan dalam melaksanakan risalah projek, persidangan ini juga menjadi wadah perkongsian pengalaman dan dapatan-dapatan kajian seperti kawasan-kawasan dan tempat yang dihuni ramai umat Islam, keadaan dan kecukupan peluang-peluang pembelajaran Bahasa Arab, mengenal pasti sudut-sudut dan potensi yang perlu kepada pengembangan dan juga merancang dan merangka masa depan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara.

    “Alhamdulillah, persidangan ini telah pun dapat mengumpulkan seramai 40 orang para ulama dalam bidang Bahasa Arab yang akan mengongsikan kepakaran mereka itu melalui persidangan ini.”

    Persidangan berkenaan merangkumi 40 sesi perbincangan ilmiah yang termasuk dua sesi ucaptama, satu perbincangan meja bulat dan 37 sesi pembentangan serta dihadiri oleh 17 orang pembentang dari luar negara iaitu Arab Saudi, Oman, Sudan, Malaysia dan Indonesia.

    Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Roslan bin Haji Taja‘ah; Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Rektor UNISSA, Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda