Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Memperingati mangsa banjir Pakistan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan di Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan majlis memperingati dan memanjat doa untuk para syuhada Pakistan dan mangsa korban banjir yang melanda Pakistan baru-baru ini.

    Majlis tersebut telah dihadiri oleh ahli-ahli Persatuan Persahabatan Brunei Pakistan, anggota angkatan tentera Pakistan yang bertugas di Brunei, ahli masyarakat Pakistan dan Rakan-rakan Brunei Pakistan.

    Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani dalam ucapannya memberi penghormatan yang tinggi kepada jiwa-jiwa yang menunjukkan keberanian yang patut dicontohi dan mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan Pakistan.

    Pada majlis itu juga, doa khas telah dipanjatkan untuk para syuhada dan mangsa korban akibat banjir yang melanda Pakistan baru-baru ini.

    Tuan Yang Terutama juga menyeru kepada ekspatriat Pakistan dan rakan-rakan Brunei untuk menderma dengan murah hati bagi bantuan dan pemulihan mangsa banjir.

    Sementara itu, dalam temu bual ringkas, Tuan Yang Terutama mengongsikan banjir besar yang melanda Pakistan baru-baru ini telah menjejaskan 33 juta orang dan perhimpunan pada hari itu juga adalah untuk memohon pertolongan Allah SWT dan mendoakan mereka dan semua yang telah kehilangan nyawa semasa bencana itu.

    “Perdana Menteri kami telah pun membuat panggilan sekali gus memaklumkan mengenai penubuhan Tabung Bantuan Banjir Perdana Menteri, selain beberapa langkah lain turut dilakukan,” ujarnya lagi.

    Tuan Yang Terutama juga berkata mereka amat berterima kasih kepada Brunei dan doa-doa yang dipanjatkan oleh saudara-saudara di Brunei.

    “Kami menghargai perhubungan kami dengan Brunei dan persahabatan serta persaudaraan antara Pakistan dan Brunei akan kekal di sini.”

    Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani semasa menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...