Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Pantun diibaratkan sebagai salah satu nadi warisan bangsa yang melambangkan jati diri orang Melayu di mana keunikan dan keistimewaan pantun pada dasarnya dapat dilihat menerusi penciptaannya yang akrab dengan alam.
“Alam dijadikan sebagai simbol dan latar kehidupan masyarakat Melayu sehingga lahirnya sebuah ungkapan Alam Terkembang Menjadi Guru.”
Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab semasa menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Pantun Melayu Brunei semasa Festival Sastera dan Seni Budaya Melayu Brunei Pantun sebagai Khazanah Bangsa di Balai Sarmayuda, DBP, hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, kepentingan pantun dalam kehidupan masyarakat Melayu juga ditekankan oleh UNESCO yang telah menetapkan pantun sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang mana pengiktirafan itu secara tidak langsung telah memangkin kesedaran masyarakat Melayu untuk terus melindungi dan melestarikan pantun, supaya ia dapat diwarisi secara turun-temurun.
Jika usaha memperkasa kelestariannya tidak dilaksanakan, tegasnya, keluhuran warisan yang dimiliki itu ditakuti akan semakin dilupakan.

Dalam usaha ini, tambahnya, DBP mengambil tindakan dalam pengupayaan pelestarian budaya Melayu Brunei terus dikukuhkan dengan melaksanakan pelbagai projek penyelidikan, kegiatan dan pendokumentasian.
“Salah satu usaha tersebut adalah mengadakan kegiatan pantun sebagai khazanah bangsa iaitu kemuncak projek Penyelidikan Pantun Melayu Brunei di negara ini dengan memulakan langkah bimbingan melalui Bengkel Pantun Melayu Brunei,” ujarnya.
Menurutnya, bengkel berkenaan menjadi salah satu medan yang cukup penting dalam melahirkan pemantun sebagai pelapis dan penerus yang mewarisi kemahiran seni berpantun di negara ini.
Beliau seterusnya berharap supaya bengkel yang akan berlangsung selama tiga hari itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta bengkel.
Bengkel merangkumi pengenalan, penerangan, perbincangan dan latihan ke lapangan akan dibimbing oleh elit budaya, Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid.
Antara pengisian bengkel adalah pengenalan pantun Melayu (empat kerat), teknik mencipta pantun atau berbalas pantun, bimbingan pantun, sesi menghalusi pantun dan bincang-bincang pantun.
Bengkel yang diadakan di dua buah lokasi ini iaitu di Balai Sarmayuda, DBP dan Balai Raya Orang Kaya Sura Haji Tuba bin Talib Temburong itu antara lain berobjektif untuk memupuk semangat cintakan seni dan budaya bangsa selain menanamkan minat seni penciptaan pantun dalam kalangan generasi muda di samping meningkatkan kemahiran, daya fikiran dan kreativiti generasi muda dalam mencipta pantun.
Peserta terdiri daripada belia, pelajar dan mahasiswa serta mahasiswi institusi pengajian tinggi dan hasil daripada bengkel itu nanti, pembimbing bengkel akan mengenal pasti empat kumpulan yang layak untuk diserap menjadi peserta Pantun sebagai Khazanah Bangsa: Sayembara Berbalas Pantun yang dijangka berlangsung pada Ogos depan.