Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Memperkasa pendidikan berkonsepkan SPICE

    Oleh Nurdiyanah R.

    Demi memperoleh kejayaan duniawi dan ukhrawi, Brainy Bunch Gadong, Brunei memperkasa pendidikan Montessori Islam dengan pengkhususan mengajar, melatih dan membantu perkembangan golongan kanak-kanak kepada be brainy dan impactful menerusi rangka kerja pendidikan berkonsepkan Spiritual, Physical, Intellectual, Creative and Emotional (SPICE).

    Berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini, Pengurus Brainy Bunch Gadong, Brunei, yang terletak di Kampung Pengkalan Gadong, Dayang Fatin Amira binti Mohd Faiz menjelaskan enam tahun pertama perkembangan kanak-kanak adalah tempoh pendidikan yang paling penting maka itulah antara salah satu matlamat tertubuhnya playschool tersebut secara umumnya.

    “Namun dalam kita mewujudkan perkembangan itu apa yang perlu dititikberatkan juga ialah usaha berterusan ke arah memperkasa jiwa dan minda kanak-kanak dengan nilai-nilai kecintaan kepada Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW dalam meniti kehidupan sehari-hari.

    “Dengan penerapan pendidikan sedemikian, ia memang bersesuaian dengan Negara Brunei Darussalam lebih-lebih sebagai sebuah Negara Zikir,” ujarnya.

    Memperkasa nilai-nilai keislaman

    Terdahulu, Dayang Fatin turut mengongsikan, kini Brainy Bunch memiliki lebih 100 cawangan dan kampus di Malaysia, tiga buah cawangan di Indonesia, lima buah cawangan di Singapura dan sebuah cawangan lagi ditubuhkan di Turki.

    Dayang Fatin semasa berkesempatan ditemui penulis di Kampung Pengkalan Gadong.
    Antara kanak-kanak yang mengikuti program playschool di Brainy Bunch Gadong, Brunei bersama beberapa orang tenaga pengajar mereka.
    Beberapa aktiviti keislaman diterapkan antaranya praktikal tawaf, membaca surah-surah lazim dan juga amalan-amalan zikir serta doa ringkas.
    ATAS & BAWAH: Bagi kaedah Montessori, kanak-kanak telah diterapkan dengan VAK Learning iaitu Visual, Auditory dan Kinesthetic namun mengikut Child-Centric atau rentak fasa kanak-kanak tersebut.

    Manakala sebuah cawangan sekolah amal ditubuhkan di Gaza di mana pembiayaan sekolah berkenaan bersumberkan dari potongan tetap hasil bayaran yuran pembelajaran dari setiap cawangan Brainy Bunch.

    Menerusi tiga teras utama, iaitu Islam, Montessori dan bahasa Inggeris, beliau menyatakan bahawa dengan asas Islam yang kukuh adalah penting untuk melahirkan umat Islam yang dinamik dengan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW sebagai pedoman hidup mereka yang sebenar.

    “Dalam meniti pendidikan di sini, kanak-kanak lebih diselami dengan nilai-nilai Islam sebagai cara hidup dengan menerapkan lima kecintaan dalam diri mereka iaitu cintakan Allah SWT, Rasulullah SAW, jannah, ibu bapa dan orang lain. Biarlah kemanisan nilai-nilai itu dapat dididik sejak awal lagi,” ujarnya.

    Beliau turut mengongsikan sebelum memulakan aktiviti-aktiviti lain, perkara pertama yang dilaksanakan ialah membiasakan kanak-kanak itu mendirikan sembahyang Sunat Duha pada awal pagi setiba mereka datang ke playschool tersebut, dan begitu juga sembahyang Fardu Zuhur dan Asar.

    Selain itu, beberapa aktiviti-aktiviti keislaman yang diterapkan antaranya praktikal tawaf, membaca surah-surah lazim dan juga amalan-amalan zikir serta doa ringkas.

    Di samping itu, bagi kaedah Montes- sori, kanak-kanak diterapkan dengan VAK Learning iaitu Visual, Auditory, dan Kinesthetic namun mengikut Child-Centric atau rentak fasa kanak-kanak tersebut meliputi 10 mata pelajaran teras antaranya sensorial, muzik dan pergerakan, mari bercerita, dan sebagainya.

    “Mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan komunikasi bersama kanak-kanak kami sememangnya bagi meningkatkan tahap kesediaan mereka menempuhi cabaran pendidikan global pada masa akan datang,” jelasnya yang turut berkongsi setakat ini, hampir 20 kanak-kanak yang menyertai playschool tersebut yang antaranya dalam lingkungan usia setahun setengah dan tidak melebihi empat tahun dengan bimbingan enam orang tenaga pengajar yang telah dilatih secara khusus.

    Mewujudkan naluri kekeluargaan

    Sebelumnya, Dayang Fatin yang memulakan kerjayanya di salah sebuah cawangan Brainy Bunch di negara jiran, Malaysia dengan pengalaman hampir 10 tahun itu turut menyatakan hubu- ngan antara mereka dan kanak-kanak bagaikan sebuah keluarga di mana me-reka lebih menggalakkan kanak-kanak itu memanggil semua tenaga pengajar sebagai Aunty berbanding Teacher.

    “Hal ini kami amalkan untuk mewujudkan naluri kekeluargaan yang lebih erat antara kedua-dua pihak iaitu kanak-kanak dan tenaga pengajar.

    “Di samping itu, adalah menjadi harapan kami untuk melahirkan golongan kanak-kanak yang berkembang dengan pengetahuan yang tinggi sejajar dengan tingginya nilai-nilai murni dalam diri sebagai bekalan kehidupan sehari-hari seperti hormat-menghormati, mengasihi dan begitu juga sentiasa bersyukur dan mengungkapkan ucapan terima kasih sebagai penghargaan,” tambahnya di akhir pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...