Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mempertahankan budaya sang jati dusun

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Biro Belia MPK Ukong

    Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu yang mengandungi tujuh puak jati iaitu Melayu Brunei, Tutong, Belait, Kedayan, Bisaya, Dusun dan Murut.

    Dan pastinya setiap puak jati itu memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri.

    Masyarakat Sang Jati Dusun juga tidak kurangnya kaya dengan keunikan dan keistimewaan dan baru-baru ini Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong menerusi bahagian biro belianya telah mengadakan Festival Adau Gayoh Belia dan Jualan Kampung Ukong di gelanggang sukan kampung berkenaan. Antara tujuan festival tersebut adalah untuk memelihara khazanah warisan budaya daripada pupus ditelan zaman.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan festival yang buat julung kalinya diadakan tersebut ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya dan isteri.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, juga selaku penghulu Mukim Telisai dan Mukim Ukong; Penasihat MPK Ukong, Awang Bantong bin Antaran; Pemangku Ketua Kampung Ukong, Awang Muhammad Hakimi bin Gampar berserta para ahli jawatankuasa festival dan juga orang ramai.

    Masyarakat Dusun mempersembahkan tradisi mereka semasa Frestival Adau Gayoh Belia dan Jualan Kampung Ukong di gelanggang sukan kampung berkenaan, baru-baru ini.
    Kegembiraan terpancar pada wajah para belia dan beliawanis MPK Ukong dalam memperagakan keindahan pakaian tradisi masyarakat Dusun semasa berlangsungnya festival berkenaan.

    Pelbagai acara telah menyerikan festival berkenaan antaranya persembahan seni silat kuntau, tarian tamarok dan tarian ancayau sebagai salah satu seni tarian warisan Sang Jati Dusun dengan kemeriahan keindahan busana dan segala perhiasan asli mereka.

    Alunan muzik tradisional guling tangan juga turut menghidupkan sepanjang berlangsungnya kemeriahan festival tersebut.

    Asal usul adat Tamarok

    Kesempatan menemui salah seorang warga emas yang turut berkunjung ke festival berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Bu Atik berkongsi ce-rita daripada orang tua-tua suatu ketika dahulu bahawa adat tamarok yang menjadi salah satu adat kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Dusun sejak dahulu lagi itu memiliki asal usul yang tersendiri.

    “Pada zaman dahulu seorang anak dari kayangan yang dikenali sebagai anak Daghato, bersahabat baik dengan seorang anak manusia. Ketika mereka berhenti bermain kerana hendak makan, mereka mengeluarkan bekalan masing-masing.

    “Anak Daghato hairan melihat anak manusia makan arang, sedangkan ia makan nasi yang dimasukkan di dalam ketupat. Ia merasa kasihan lalu memberi sedikit nasinya kepada anak manusia. Setelah merasa kelazatan nasi, anak manusia terus memohon kepada anak Daghato agar dapat membawa benih padi untuk ditanam di bumi,” jelas Bu Atik.

    “Lantas anak Daghato memberitahu hal ini kepada orang tuanya tetapi tidak dibenarkannya. Walau bagaimanapun, pada suatu hari, anak Daghato berjaya menyembunyikan sebiji padi untuk dibawa turun ke bumi.

    “Hal ini diketahui oleh Daghato lalu memberi hukuman kepada manusia iaitu apabila hendak makan beras baru, terlebih dahulu hendaklah meminta izin serta mengucapkan terima kasih kepada Daghato dalam upacara tamarok sebagaimana yang dikehendaki.

    Dari peristiwa inilah asal manusia pandai makan nasi dan mula mengamalkan upacara Tamarok,” tambahnya dengan senyuman manis sambil menjelaskan lagi mungkin ia hanya mitos semata-mata.

    Jelasnya lagi, bagi puak jati Dusun, Tamarok atau dalam Bahasa Dusun ‘Tama-Ghok’ merupakan satu upacara yang penting.

    Tamarok dikatakan acara perjumpaan dengan Daghato bagi menyatakan sesuatu. Kebiasaannya, penari tamarok disebut sebagai ‘Balian’ akan menari di tengah rumah dengan mengelilingi barang-barang persembahan.

    Mereka membuat persembahan dengan mengikut rentak irama gendang yang tertentu. Selama mengelilingi barang-barang persembahan itu, para Balian adalah dalam keadaan tidak sedar kerana kuasa ghaib telah masuk dalam jasad mereka.

    “Tamarok mempunyai beberapa jenis. Walau bagaimanapun, upacara Tamarok yang sering diamalkan ialah Tamarok Padi, Tamarok Anak Bulan, Tamarok berpindah ke rumah baru dan Tamarok mengubati orang sakit. Namun sekarang, kebanyakan upacara ini hanya sekadar untuk persembahan hiburan semata-mata demi memperkenalkan keindahan dan keunikan budaya yang dimiliki oleh puak kami,” ujarnya lagi.

    Bersama kita bersatu, pertahan budaya

    Bersama kita bersatu, dengan adanya pelbagai kegiatan perlu dilaksanakan agar keindahan tradisi yang sudah lama wujud sejak zaman berzaman ini turut dapat diselami oleh golongan muda di negara ini.

    Begitulah antara perkongsian daripada Awang Mohamad Subhi bin Haji Julaihi selaku pengerusi semasa menyampaikan ucapannya semasa berlangsungnya festival tersebut.

    “Kita tidak mahu warisan ini hanya dimonopoli oleh golongan veteran bahkan generasi muda selaku penerus bangsa juga mestilah turut sama bangkit mempertahankan budaya tradisi ini agar tidak hilang begitu sahaja. Itulah harapan yang ingin kita perjuangkan selama ini.

    “Selain itu, festival sebegini juga secara tidak langsung diharap dapat menarik orang ramai khususnya yang berada di luar kampung untuk mengenali lebih dekat keunikan di kampung ini secara menyeluruh termasuklah kehidupan penduduknya, budaya, variasi produk dan sebagainya,” tambahnya lagi.

    Dalam pada itu, beliau turut menekankan antara tujuan dalam penganjuran festival ini ialah berkongsi keindahan budaya tradisi masyarakat Dusun, ikatan silaturahim sesama para pengunjung turut dapat dibina dari semasa ke semasa.

    Begitu juga sebagai salah satu usaha untuk mempertingkatkan ekonomi dan produk kampung melalui gerai-gerai hasil sumber pertanian atau perladangan mereka dan juga produk keunikan seni kraf tangan mereka selama ini.

    “Harapan kami memang tinggi, semoga festival sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Generasi muda di negara ini akan dapat menimba ilmu pengetahuan daripada tunjuk ajar golongan yang lebih arif mengenai warisan budaya ini.

    “Pastinya warisan ini begitu luas apabila kita menerokainya dengan penuh kegigihan, bukan hanya menerusi seni muzik dan tarian serta pakaian, bahkan meliputi semua aspek meliputi variasi sentuhan makanan dan minuman yang diamalkan oleh orang tua-tua pada masa dahulu,” ujarnya dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri ucapannya.

    Dalam pada itu, festival juga turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi tatapan orang ramai seperti gerai jualan meliputi bunga-bungaan, kraf tangan; makanan dan minuman, buah-buahan dan sayur-sayuran; dan sebagainya.

    Selain itu turut diadakan pameran binatang reptilia, kucing dan burung serta pelbagai permainan menarik bagi orang dewasa mahu pun kanak-kanak sepanjang festival dijalankan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda