IPOH, 5 JAN – Kerja-kerja menaik taraf ikon pelancongan Menara Condong Teluk Intan akan bermula menjelang akhir tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Loh berkata proses menaik taraf bangunan warisan itu meliputi pelbagai proses dan peruntukannya dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kerja-kerja naik taraf akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dibantu beberapa pihak berwajib termasuk Majlis Perbandaran Teluk Intan.
“Skop naik taraf bangunan warisan ini juga akan melibatkan pembaikan struktur kayu bangunan, penyelenggaraan jam dan aksesori berkaitan, pendawaian elektrik dan pencahayaan serta sistem perparitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 21 Ogos tahun lepas, Yang Dipertua MPTI Zairul Akmal Kasim memaklumkan sebanyak RM4 juta diperuntukkan oleh MOTAC untuk kerja menaik taraf bangunan itu.
Sementara itu, Loh berkata kerja-kerja menaik taraf bangunan ikonik itu juga dijangka mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. – Bernama
